Khamis, 19 Mac 2009

Tarikh lahir satukan Emelda - Adlin


Oleh ANGELINA SINYANG
PASANGAN sejoli... Emelda Rosmila dan Adlin Aman Ramli bersama barangan hantaran mereka.
TANGGAL 14 Mac 2009, genaplah 29 tahun usia pelakon Emelda Rosmila. Sambutan hari lahir kali ini meninggalkan kenangan manis bagi Emelda atau lebih mesra dipanggil Mel kerana pada hari itu secara rasminya menjadi tunangan kepada pelakon dan penggiat teater, Adlin Aman Ramlie, 36.
Pasangan merpati dua sejoli yang sudah empat tahun menyulam cinta ini didekatkan dengan ikatan pertunangan dalam majlis ringkas tetapi meriah yang berlangsung di rumah pusaka keluarga Mel di Kampung Batu Lapan, Ulu Kinta, Ipoh, Perak pada tarikh tersebut.
Meskipun impian disatukan sebagai suami isteri pada bulan ini tidak menjadi kenyataan, Mel dan Adlin tidak kecewa kerana hubungan cinta mereka kini tersimpul kukuh dengan ikatan pertunangan.
Pemergian ayahanda tercinta, Abdul Hamid Md. Ally akibat serangan jantung pada 2 Februari 2008, ujar Mel, merupakan punca mengapa dia dan Adlin mengambil keputusan menangguhkan perkahwinan yang dirancang diadakan pada bulan ini.
"Rancangan mahu bertunang dan berkahwin sudah lama dibuat tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ayah meninggal dunia pada 2 Februari 2008.
"Tidak sesuai rasanya kami mengadakan majlis perkahwinan dalam keadaan keluarga masih bersedih mengenangkan pemergian ayah, apatah lagi ibu (Rokiah Ibrahim) baru sahaja menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahimnya kira-kira sebulan lalu," kata Mel.
Hasil persetujuan bersama, Mel dan Adlin memilih hari lahir mereka untuk memeterai ikatan suci antara mereka.
Tarikh lahir Mel yang jatuh pada 14 Mac lalu dipilih untuk melangsungkan majlis pertunangan manakala hari lahir Adlin pada 23 Mei ini akan menyaksikan mereka disatukan dengan ikatan perkahwinan.
Pada majlis pertunangan itu, wang hantaran telahpun ditetapkan RM29,000 dan mas kahwin sebanyak RM1,001.
Bagaimanapun ibu Adlin, seniwati veteran Ruminah Sidek atau lebih mesra dipanggil Mak Mah menambah RM1,000 lagi sebagai hadiah kepada bakal menantunya menjadikan wang hantaran RM30,000.
Seperti majlis pertunangannya, Mel juga merancang mengadakan majlis perkahwinan di rumah pusaka keluarganya kerana rumah itu menyimpan seribu kenangan pahit dan manis Mel sejak kecil sehinggalah dewasa.