Jumaat, 27 Mac 2009

Azalina, Shahrir dan empat MB tewas



Dua menteri, tiga timbalan menteri dan empat menteri besar dan ketua menteri tewas dalam persaingan merebut kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno. Dua menteri berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad.Timbalan menteri yang gagal mendapat tempat: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dan dua timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Johari Baharum dan Datuk Hasan Malek.
Manakala empat menteri besar dan ketua menteri yang turut gagal dalam persaingan itu: Datuk Abdul Ghani Othman (Johor), Datuk Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Md Isa Sabu (Perlis) dan Datuk Seri Mohamad Hassan (Negeri Sembilan).Hanya seorang ketua menteri yang berjaya terpilih kali ini iaitu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.Sementara tujuh menteri yang berjaya dipilih: Datuk Mustapa Mohamad, Datuk Noh Omar, Datuk Ismail Sabri, Datuk Mohamad Zin Mohamed, Datuk Shaziman Abu Mansor, Datuk Zulhasnan Rafique dan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Manakala lima timbalan menteri yang berjaya dipilih: Datuk Saifudin Abdullah, Datuk SP Lajim Ukin, Datuk Hamzah Zainuddin, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Idirs Haron.Turut terpilih, dua bekas menteri besar: Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu) dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah).Hanya seorang calon wanita yang terpilih iaitu Datuk Dr Norraesah Mohamad.
Turut menang di senarai terbawah, ketua Biro Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Justeru, perkembangan dalam Umno kini memberi syarat jelas kepada pembangkang agar berhati-hati dan membuat perkiraan baru. Pembangkang perlu bertindak mengubah strategi daripada mahu mengambil kesempatan atas perpecahan Umno kepada pengukuhan diri sendiri. Pembangkang (Pakatan Rakyat) perlu perkemaskan ikatan pakatan. Pembangkang akan kecewa kalau masih terus mengharapkan peperpecahan dalam rumah tangga Umno.
Yang penting selepas ini serangan ke atas Umno, memomokkan kononnya Umno akan hancur dan sebagainya perlu dirihatkan sedikit dan tumpukan kepada mencuri masa mencari helah dan modal lain. Pembangkang lebih baik terus meracuni pemikiran umum dengan masa depan Umno yang sudah tidak diyakini kerana permasalahan, idealisme, budaya, tradisi dan juga iltizam perjuangannya yang tidak menentu itu, dan bukannnya terus bercerita mengenai perpecahannnya dan juga menghimpun segala macam masalah peribadi (termasuk fitnah) ke atas pemimpinnya.

Perlu berani berubah – Abdullah



KUALA LUMPUR 26 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta ahli- ahli parti itu menanam keazaman ‘untuk berubah’ sambil disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan dalam diri sendiri jika mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai Presiden UMNO, beliau menegaskan, betapa malangnya jika ramai ahli parti itu masih gagal memahami bahawa UMNO itu adalah ahli-ahlinya sendiri dan selagi mereka tidak berubah, UMNO tidak mungkin dapat berubah.
‘‘Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa UMNO wajib melakukan perubahan.
‘‘Apa yang saya ingin dengar adalah suara yang menyatakan ‘aku akan berubah’ lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri.
‘‘Sedarilah, di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika UMNO, jika BN tidak berubah, maka pilihan raya ke-12 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada BN menubuhkan kerajaan.
‘‘Selepas ini, rakyat di luar dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi,’’ tegasnya di Perhimpunan Agung UMNO 2008, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Dalam ucapan kira-kira sejam itu Presiden UMNO turut meminta UMNO melakukan perubahan berani selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal jika tidak mahu menyaksikan hayat parti itu berakhir.
Menurut Abdullah, UMNO kini berada di persimpangan jalan dan laluan yang dipilih nanti akan menentukan sama ada UMNO kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu.
Beliau berkata, ada juga yang masih berpendirian bahawa UMNO tidak perlu melakukan perubahan dan percaya UMNO akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama.
Orde lama itu, kata beliau, ialah dengan menyekat dan menghalang kebebasan warganya daripada menyuarakan kritikan.
Mereka, tegas Abdullah, berpandangan UMNO boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu.
‘‘Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi bahagia,’’ katanya.
Abdullah bimbang, jika laluan lama dipilih ia bukan sahaja membawa UMNO ke belakang malah akan mempercepatkan berakhirnya talian hayat UMNO.
Sehubungan itu, kata beliau, untuk terus relevan, UMNO perlu berusaha mencantumkan kekuatan lama yang telah hilang dengan elemen baru yang perlu diterokai.
Tegasnya, kekuatan lama yang telah hilang adalah semangat asal dan komitmen asal kepada perjuangan bangsa dan perjuangan parti.
Justeru, katanya, setiap ahli UMNO perlu menghidupkan kembali semangat berkorban, semangat dedikasi, semangat kesederhanaan, semangat berkhidmat, semangat kemanusiaan dan mempamerkan integriti yang tinggi lagi dihormati.
‘‘Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul, yang merasakan diri kita sahaja yang pandai. Jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu demikian juga kepada ahli-ahli parti baik yang menyokong kita atau saingan kita,’’ tegas beliau.
Perdana Menteri turut meminta seluruh ahli UMNO mengambil iktibar daripada loceng amaran yang berdering kuat, yang menuntut setiap ahlinya bertanya ‘apa yang tersilap’ atau ‘kenapa dan bagaimana kita tersilap.
‘‘Jawapan spontan saya terhadap persoalan tersebut ialah ‘kita telah gagal mengurus kejayaan kita sendiri’.
‘‘Bahawa kita terlalu mabuk dilambung ombak kejayaan. Bahawa kita menjadi leka diulit gurindam kejayaan. Bahawa kita merasakan diri kita sudah menjadi terlalu kuat. Bahawa kita lebih mementingkan kedudukan kita di dalam UMNO daripada memikirkan kedudukan UMNO di kalangan warga dan di dalam negara,’’ tegasnya.
Keadaan sedemikian, kata Abdullah menuntut ahli-ahli UMNO bermuhasabah, melihat ke dalam diri, meninjau kembali sumber kekuatan selama ini selain memeriksa kelemahan dan kesilapan semenjak akhir-akhir ini.

Cuma 1 jam esok bergelap - Earth Hour 28 mac 2009 8.30 malam



Semua orang digesa untuk memadamkan lampu untuk sejam bermula 8.30 malam pada Sabtu 28 March 2009. Program Earth Hour adalah program tahunan sedunia yang dianjurkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia(WWF) pada Sabtu ketiga setiap March. Melalui kempen ini orang ramai di minta untuk memadamkan lampu atau apa jua peralatan elektrik bagi tempoh sejam. Ia bermatlamat meningkatkan kesedaran perlunya tindakan segera diambil dalam menghadapi perubahan iklim dunia.
Selamat bergelap sejam esok.....