Sabtu, 26 Mei 2012

Ramai tidak setuju PLKN diwajibkan...

Ramai pihak menolak cadangan mewajibkan semua pelajar lepasan sekolah menengah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).Beberapa pertubuhan pendidikan, ibu bapa dan pelajar memberikan pelbagai sebab mengapa mereka tidak bersetuju dengan cadangan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr Tiki Lafe.Dr Tiki pada Khamis berkata, cadangan itu telah dibincangkan oleh MLKN dan akan diusulkan kepada kerajaan untuk persetujuan selain meminta maklum balas dari orang ramai.


“Jika ia dipersetujui, kira-kira 500,000 pelatih akan terlibat untuk satu tahun. Oleh itu, kami akan mengkaji kemudahan sedia ada sama ada ia perlu diperluaskan untuk menampung pertambahan peserta,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, agak sukar untuk menempatkan kesemua lepasan sekolah menengah kerana program itu boleh menampung sekurang-kurangnya 90,000 pelatih setiap sesi pengambilan.

“Kita akan memilih pelatih secara rambang untuk ditempatkan di 79 kem seluruh negeri. Agak sukar menempatkan kesemua lepasan sekolah menengah kerana jumlahnya hampir setengah juta,” katanya pada Jumaat.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, orang ramai tidak akan bersetuju dengan cadangan tersebut sehingga kemudahan di kem latihan dipertingkatkan.

“Sehingga perkara melibatkan keselamatan boleh dijamin, program tersebut tidak boleh diwajibkan,” katanya.

Ibu bapa turut menyatakan rasa bimbang mengenai keselamatan, kesihatan dan kebersihan.

“Kem latihan yang disertai anak saudara saya mencatatkan kes buli paling tinggi,” kata Karen Wong, 48, yang turut memiliki seorang anak lelaki di Tingkatan 5. Lawrence Liu, 53, yang mempunyai anak perempuan di Tingkatan 4 berkata, program itu berdepan dengan masalah keselamatan.

“Terdapat banyak kes kematian berlaku. Apabila pelatih sakit, tiada perhatian secukupnya diberikan,” katanya.

Pelajar Tingkatan 4, Amin Haikal Ahmad, 16, dari SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu berkata, program tersebut mempunyai masalah imej.

“Saya terdengar pelbagai cerita mengerikan dari beberapa kem latihan…saya tidak mahu menyertai program itu walaupun niatnya baik,” katanya.

Nur Fatin Syahmi Aqilah Mohd Ghani, 16, berkata, kerajaan perlu menggalakkan pelajar lepasan sekolah menengah menyertai program sukarelawan berbanding memaksa mereka menyertai program PLKN.