Khamis, 28 Mei 2009

NO WAY CHIN PENG! ANDA PEMBUNUH!



Tiada tempat untuk Chin Peng kerana beliau pembunuh !
Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini. Chin Peng dan komando-komandonya telah membunuh ribuan rakyat Malaya dan peristiwa itu tidak dapat dilupai dan sudah tercatat dalam buku sejarah.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama, Dr Rais Yatim, berkata demikian kepada wartawan selepas majlis perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan kementeriannya di Angkasapuri, Isnin. Beliau membidas usaha parti Gerakan yang memohon supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia kononnya atas dasar kemanusiaan.
Ahad lalu, pengerusi Gerakan, Datuk Dr Teng Hock Nan dilaporkan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menerima rayuan Chin Peng untuk pulang ke Malaysia setelah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya bulan lalu.
“Pemimpin-pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap Chin Peng atau Komunis lebih baik mengisytiharkan pendirian mereka secara jelas dan tidak harus berselindung di sebalik tabir politik parti masing-masing.
"Komunis tidak sekali-kali boleh diberi tempat di negara ini kerana mereka telah membunuh ribuan rakyat Malaya (Malaysia ketika itu). Tidak ada tempat untuk mereka bermuafakat atau melunakkan perasaan kita,” kata Dr Rais.
Dr Rais berkata, beliau juga akan membentangkan langkah dan cadangan ke kabinet mengenai langkah yang harus diambil terhadap blog-blog yang seolah-olah memberi pujian atau melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme.
“Saya menyeru rakyat Malaysia supaya tidak harus terburu-buru mempercayai kumpulan yang membawa idea baru yang mengagungkan komunisme,” katanya lagi. – 25/05/09.

Tiada niat aibkan sesiapa: Maiza

Sudah dua tahun, gosip cinta antara Akhil Hayy dan Waheeda meledak, namun kedua-dua mereka sentiasa menafikannya. Kemuncaknya, mereka bukan sahaja membuat penafian malah menyifatkan tindakan media yang memperbesarkan keakraban mereka umpama 'membangkitkan fitnah yang sedang tidur' ketika ditemui di majlis pelancaran program kafe Akhil Hayy musim kedua di sebuah restoran Arab, awal bulan lalu. Dalam pada menyelar tindakan media, kisah Akhil dan Waheeda terus mendapat perhatian apabila gambar-gambar mereka mengunjungi pantai tersebar di Internet. Namun klimaks kepada kisah mereka boleh dikatakan bermula Ahad lalu apabila isteri Akhil, Maizawati Zainal (Maiza) mengeluarkan kenyataan dalam program Nasi Lemak Kopi O di TV9. Semalam, Maiza muncul pula dalam Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 bagi membicarakan kisahnya yang hangat diperkatakan masyarakat. Seperti mana sebelumnya, dalam program yang disiarkan secara langsung itu Maiza menyatakan hasratnya untuk berpisah dengan Akhil. Kes perceraian mereka bakal diperdengarkan di Mahkamah Syariah Ipoh, 2 Jun ini. Tidak pulang lebih tiga bulan“Tiada langsung niat saya untuk membuka aib sesiapa. Saya hanya ingin menjawab persoalan masyarakat mengapa saya ingin meminta cerai, jadi saya harap mereka (Akhil dan Waheeda) faham dan menerima dengan hati terbuka. Saya juga tidak berniat untuk mengusutkan lagi masalah yang sedia ada,” ujar Maiza ketika ditemui sejurus selepas WHI berakhir. Alasan lain mengapa tindakan untuk bersemuka dengan media diambil ialah kebuntuannya untuk berbincang dengan Akhil bagi menyelesaikan kemelut yang melanda rumah tangga mereka apabila pengacara yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Rock itu tidak pulang ke rumah mereka di Ipoh, Perak lebih tiga bulan. Kali terakhir mereka berbicara dari hati ke hati ialah pada Februari lalu. “Waktu itu Ustaz memberitahu saya soal hubungannya dengan artis berkenaan. Saya katakan padanya, di pihak saya tiada masalah malah gembira untuk menerimanya sebagai madu. Jadi saya tidak faham mengapa masalah (tidak balik rumah) boleh timbul,” luah Maiza yang menyifatkan Akhil sebagai suami yang baik selama ini. Menyentuh tentang sejauh mana dia mengetahui keseriusan hubungan suaminya dengan Waheeda, Maiza menyatakan dia sudah mendengar gosip tentang mereka sejak dua tahun lalu. Namun apabila diajukan soalan, suaminya menyatakan hubungan dengan Waheeda atas dasar kerja semata-mata. “Sudah tentu saya percayakan Ustaz seratus peratus kerana dia suami saya. Tapi setiap manusia ada dugaan masing-masing, jadi saya percaya apa berlaku antara dia dan perempuan itu memang tidak dirancang dan sudah ketentuan Allah SWT. Apa yang saya nampak, dia diduga dengan seorang wanita - mungkin kerana itu jadi begini,” tutur Maiza yang menyatakan dia tidak pernah menghubungi Waheeda dan bukan jenis yang akan berbuat demikian. “Tapi kami pernah bercakap sekitar tahun 2007 apabila dia tersilap telefon dan saya mengangkatnya. Ketika berbual saya ada bertanyakan soal gosip dia dengan Ustaz tapi dia kata tak ada apa-apa hubungan,” imbasnya. Doakan kebahagiaanMenjawab persoalan mengapa dia tidak menjenguk ketika Akhil terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum ini sedangkan Waheeda dikatakan datang membantu, Maiza kelihatan terpinga-pinga. “Saya tidak tahu apa-apa soal kemalangan itu kerana tak diberitahu,” ujarnya sayu. Dia bagaimanapun mengakui agak terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan di sebuah akhbar semalam apabila Waheeda meminta agar kesabarannya tidak dicabar atau dia akan tampil dengan pendedahan yang boleh memalukan Maiza semula. “Kepada dia, saya nasihatkan jadilah isteri yang solehah selepas ini. Usah mengungkit apa yang sudah berlaku dan jangan pula menuding jari pada sesiapa kerana saya sendiri mahu meletakkan noktah pada perkara ini dengan memilih untuk mengundur diri,” ujar Maiza yang turut mendoakan kebahagiaan penyanyi tersebut bersama Akhil. Buat si suami pula dititipkan pesanan, “Moga keputusan yang diambil adalah yang terbaik untuk semua pihak. Apa yang saya mahu hanyalah perpisahan secara baik dan semoga anak-anak tidak diabaikan.”H: 'Kenapa terus ke TV?' SEMENTARA itu, Penerbit Eksekutif Nasi Lemak Kopi O, Wan Sabariah Sheikh Ali meminta supaya menghentikan cakap-cakap negatif yang mempertikaikan tindakan Maiza membawa permasalahannya ke kaca TV. “Kepada orang mempersoalkan perkara ini, cuba fikirkan jika dia tidak tampil begini siapa yang tahu seorang isteri sedang menderita tanpa pembelaan? Program yang kami paparkan juga bukan bertujuan untuk mengaibkan sesiapa tetapi sesuai dengan pengisian program (Nasi Lemak Kopi O) setiap Ahad yang memberi penekanan berkaitan isu wanita. "Topik kami Ahad lalu ialah ‘Sejauh Mana seseorang isteri wajar bersabar sebelum mendapatkan bantuan Mahkamah Syariah?'. Banyak kes berlaku di mana wanita kadangkala diberikan nafkah zahir yang mencukupi namun terabai dari segi kasih sayang dan batiniah,” ujar Wan Sabariah. Menurutnya, Maiza mulanya datang ke stesen berkenaan minggu lalu untuk mencari suaminya. Mereka yang bersimpati memberikan bantuan termasuk memberikan khidmat nasihat. Apabila Maiza kemudiannya memutuskan untuk menyelesaikan masalahnya di mahkamah, mereka memperkenalkannya kepada pihak yang boleh membantu seperti peguam syariah.