Rabu, 19 Ogos 2009

Bertimbang rasalah - MB Selangor meminta penduduk Seksyen 23


KUALA SELANGOR 17 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta penduduk Seksyen 23, Shah Alam. bertimbang rasa menerima keputusan kerajaan negeri membina kuil di atas tanah seluas 0.2 hektar berhampiran kawasan perumahan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi penjelasan kepada penduduk terbabit selain berbincang dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail mengenai isu itu.
''Kita hidup dalam masyarakat majmuk, bertimbang rasalah,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persiapan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 330 fakir miskin di Masjid Nurul Iman, Kampung Batu 8, Ijok di sini semalam.
Semalam, kira-kira 200 penduduk Seksyen 23 berkumpul secara aman bagi menyatakan bantahan berhubung pembinaan kuil tersebut yang terlalu dekat dengan surau.
Bantahan juga dibuat kerana majoriti penduduk di situ beragama Islam sedangkan orang India hanya 40 orang.
Mereka berkumpul di hadapan tapak kuil tersebut kira-kira pukul 10 pagi sambil membawa sepanduk mencemuh pemimpin pakatan pembangkang kerana meluluskan pembinaan kuil itu.
Menurut Abdul Khalid, kuil itu sebenarnya dialihkan dari kawasan lain dan selepas beberapa perbincangan dibuat, ia diputuskan dibina di Seksyen 23.
''Jadi bila kena alih, boleh jadi penduduk di tempat yang kena alih senang hati dan orang yang di tempat yang kita nak bawa itu pula yang tidak suka,'' katanya.