Khamis, 20 Oktober 2011

TINDAKAN MENGAMPU UIA BILA GANTUNG AZIZ BARI ~ DR ASRI

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari dengan menyifatkannya sebagai "tindakan mengampu".

"Tindakan kepada Prof Aziz Bari merupakan sesuatu yang amat memalukan dunia akademik kita.

"Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad.

"Tindakan ini adalah tindakan mengampu," kata fellow pelawat di Universiti Oxford itu.


Dalam kenyataannya hari ini, Dr Asri (kanan) menyifatkannya sebagai "tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik".

Beliau bahkan sinis terhadap apa yang dirujuknya sebagai "kepimpinan baru di UIA" yang tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik.

"Kepimpinan UIA sekarang tidak di bawah orang yang terbilang dari segi pemikiran dan dunia ilmu sebaliknya orang yang berpotensi melakukan tindakan yang melambangkan kejumudan fikiran yang bertentangan dengan norma dunia akademik," katanya.