Rabu, 12 Ogos 2009

Tengku Puan Pahang dan anak selamat di wad ...


ANAKANDA Tengku Puan Pahang (dari kiri), Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menerima rawatan di wad diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.Tengku Puan Pahang tak mahu penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang dijangkiti Influenza A (H1N1) bersama lima anaknya, rela ditahan di wad dan tidak dikunjungi suami serta pelawat kerana tidak mahu wabak itu menjangkiti orang lain.Tunku Azizah berkata, baginda tidak berkecil hati kerana terpaksa tinggal dalam wad pengasingan bersama anak-anak, malah turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) melarang Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat selepas kembali dari London, petang semalam. "Saya bersyukur kerana rawatan yang diberikan doktor berjaya mengurangkan kesakitan, tetapi kami perlu ditahan di wad sehingga pulih sepenuhnya. Biarlah kami saja di sini bersama doktor dan jururawat sebab saya tidak mahu penyakit ini berjangkit kepada orang lain."Ketika sakit seperti ini, semestinya saya mengharapkan kehadiran suami dan anak-anak memerlukan bapa di sisi, tetapi saya tidak berkecil hati jika Tengku Mahkota tidak dapat bersama kerana kesihatan baginda lebih utama," katanya ketika dihubungi Berita Harian.Lima anak baginda - Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 12, pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, dan Tengku Puteri Jihan Khalsom 'Athiyatullah, 7, dimasukkan ke wad diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Jumaat lalu.Tengku Puan pula disahkan menghidap H1N1 sehari selepas itu. Baginda dan Tengku Mahkota sebelum itu berada di London bagi menyaksikan perbarisan tamat latihan anak sulung mereka, Tengku Amir Nasser Ibrahim di Royal Military Academy, Sandhurst, tetapi terpaksa pulang awal, Sabtu lalu, bagi menemani lima anak baginda di HTAA.Menceritakan saat cemas apabila dimaklumkan lima anak baginda dijangkiti H1N1, Tengku Puan berkata:"Saya menangis apabila diberitahu lima anak di Kuantan menghidap H1N1, terutama apabila mengenangkan seorang daripada mereka mengalami asma yang mungkin menerima risiko tinggi akibat penyakit maut itu, sedangkan ketika itu saya dan suami berada di London."Memang sukar menerima kenyataan yang akhirnya anak saya turut menjadi mangsa, terutama apabila mengetahui H1N1 boleh menyebabkan kematian jika penghidapnya mengalami penyakit seperti asma dan radang paru-paru."Saya tidak henti berdoa semoga semua anak selamat dan sepanjang dalam penerbangan pulang ke Malaysia, fikiran saya berkecamuk memikirkan nasib mereka," katanya.Tengku Puan berkata, baginda bergegas pulang untuk memberi sokongan moral dan menenangkan lima anaknya yang ketika itu sangat lemah akibat jangkitan H1N1. "Tengku Mahkota yang terkejut dengan berita itu menawarkan diri untuk pulang, tetapi saya melarang kerana baginda turut mengidap asma dan berisiko tinggi jika dijangkiti H1N1. Sebaik sampai di Kuantan, saya terus melawat anak di HTAA dan keadaan mereka ketika itu sangat lemah, muntah dan tidak berselera makan."Apabila tidur malam, mereka meracau kerana bermimpi yang bukan bukan. Paling membimbangkan, suhu badan mereka tinggi sehingga mencecah 40 darjah selsius. Akibat berada di sisi mereka, saya akhirnya turut dijangkiti H1N1 dan wad ini tidak boleh dikunjungi orang ramai," katanya.Mengenai keadaan baginda dan anak-anaknya, Tengku Puan bersyukur kerana suhu badan mereka sudah menurun selepas diberikan antiviral, Tamiflu. "Cuma Tengku Hassanal yang masih panas badannya, tetapi keadaan semua anak, termasuk Tengku Ahmad Ismail yang menghidap asma, sudah semakin stabil walaupun mereka belum berselera makan," katanya.Mengumpamakan diri baginda dan anak-anak bagaikan makhluk asing disebabkan semua doktor dan jururawat perlu memakai pakaian khas daripada kaki hingga ke kepala ketika merawat mereka, Tengku Puan berkata, pengalaman dilaluinya kali ini sungguh mencabar kerana lima anak dan dirinya diserang sakit serentak. "Saya bagaikan hilang arah kerana H1N1 bukan penyakit biasa, sebaliknya banyak kematian dilaporkan di negara kita. Ketika itu, perasaan pilu melanda kerana terbayang sukarnya saya mendapatkan cahaya mata, tetapi kini semua mereka diserang penyakit maut itu," katanya. Tengku Puan berkata, seorang daripada pengasuh anaknya turut dijangkiti H1N1 dan dirawat di hospital sama, manakala tujuh lagi dikuarantin di rumah selepas mendapat tanda diserang penyakit berkenaan. "Ketika mula dijangkiti H1N1, saya menghubungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memaklumkan keadaan kami dan setiap hari, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menelefon untuk bertanyakan perkembangan kesihatan kami."Saya juga bimbang kerana adik, Tunku Mariam yang turut menghidap asma dan anaknya, yang membantu menjaga lima anak saya sementara menunggu ketibaan saya ke HTAA, kini sakit dan mempunyai simpton H1N1 dan mereka sudah menjalani pemeriksaan di Kuala Lumpur tetapi belum mendapat keputusan lagi," katanya. Tengku Puan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak bersikap lewa dan menganggap H1N1 seolah-olah tidak berbahaya dengan membawa anak ke tempat awam yang dikunjungi ramai. "Malah, pada ketika Kuantan dilanda wabak ini, masih banyak pihak yang menganjurkan pesta keraian. "Sepatutnya, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan termasuk memakai topeng muka dan selalu mencuci tangan. Paling menyedihkan, sekolah masih terus dibuka walaupun ramai murid yang sakit. "Guru hanya mengarahkan mereka pulang, sedangkan langkah paling tepat yang patut diambil ialah menutup sekolah bagi menghalang wabak penyakit itu menular," katanya.

Anwar kesal serangan peribadi Muhyiddin


PETALING JAYA - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan sikap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memilih cara berpolitik menggunakan serangan secara peribadi. Bagaimanapun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau tidak berhasrat untuk terjebak di dalam pertikaian peribadi dengan Muhyiddin sebaliknya akan berhujah dari sudut dasar sahaja. “Ramai mahu saya serang balas (Muhyiddin). Tetapi saya rasa masih tidak perlu berbuat begitu untuk masa sekarang, saya akan menjelaskan isu-isu pokok yang perlu dijawab oleh mereka (Barisan Nasional),” katanya kepada media di ibu pejabat PKR di sini, semalam. Anwar berkata, Muhyiddin semestinya mengetahui bahawa terdapat di kalangan mereka yang tidak selesa seterusnya menimbulkan perasaan marah sekiranya isu tersebut dimainkan. Mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin tersebut, Anwar berkata, pimpinan UMNO sengaja mencipta propaganda yang memanipulasi simbol-simbol tentang bangsa, agama dan raja dengan hasrat agar pemikiran rakyat kembali sempit dan mundur. “Mereka telah mencuba puluhan kali sebelumnya. Usaha terbaru dengan menghebahkan isu pengkhianatan ini jelas menjadi petanda mereka kian terdesak. “Kita mempunyai hujah-hujah yang jitu untuk menangani politik kebencian pimpinan UMNO yang memperolokkan simbol-simbol bangsa, agama dan raja semata-mata untuk mengekalkan kekuasaan dan menutup pekong rasuah, jenayah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya. Anwar berkata, pemimpin Pakatan Rakyat lain iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang (PR) bersetuju menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Dalam pada itu ketika ditanya mengapa isu tersebut digunakan ketika ini, Anwar berkata, UMNO sedang mengalami krisis sokongan rakyat selain mahu sokongan pada pilihan raya kecil Permatang Pasir. Sehubungan itu katanya, kerajaan harus bertanggungjawab terhadap keselamatannya jika sesuatu terjadi ekoran tindakan pemimpin dan penyokong parti itu terus-menerus melabelkannya pengkhianat bangsa Melayu. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, isu desakan supaya Pas keluar dari PR tidak menjadi satu perkara yang besar kerana kenyataan tersebut dikeluar daripada Pemuda UMNO yang mahukan PR berpecah. Anwar turut menafikan bahawa beliau telah membuat pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan isu semasa sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah blog.

Dun Perak bubar November tahun ini?

Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin yakin Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak akan dibubarkan sebelum berakhir tahun 2009 ini.
Ini kerana, katanya jika Dun Perak tidak bersidang menjangkaui tempoh enam bulan negeri Perak akan menjadi negeri 'tidak berperlembagaan' atau 'unconstitutional state'.
"Dun Perak mungkin kita (PAS) boleh jangka bila dia bubar, dia (Barisan Nasional) terpaksa bubar juga kerana tidak ada pilihan lain, dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak mesti bersidang tidak lebih enam bulan,"tegasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam anjuran Majlis Tindakan Dun Cukai bagi mengumpul Dana Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, di sebuah Restoran di Bukit Kuang, Chukai, pada 5 Ogos lalu.
Menurutnya sidang Dun Perak akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 7 November 2009 kerana persidangan lalu diadakan pada 7 Mei 2009.
Katanya sidang Dun tersebut mesti diadakan bagi membentang dan meluluskan Belanjawan 2010.
"Mesti ada persidangan, jika tidak bagaimana (negeri) nak belanja tahun depan (2010), nak beri (bayar) gaji kakitangan kerajaan negeri Perak, nak buat peruntukan untuk perbekalan.
"Ini mesti diluluskan di Dewan Undangan Negeri dalam bentuk Belanjawan 2010, ikut mana cerita pun dia (kerajaan) mesti buat persidangan,"jelasnya.
Menurutnya kemungkinan berlaku kekecohan pada persidangan Dun Perak akan datang tidak dapat dijangkakan kerana sidang Dun pada Mei 2009 lalu telah berlaku ?huru hara?.
Kata Nizar, sidang Dun yang lalu dianggap tidak sah kerana tindakan Umno-BN merampas kuasa Speaker (Yang DiPertua) Dun Perak secara paksa.
"Bila dia (Umno-BN) buat persidangan (nanti), saya beritahu Tuanku (Sultan), kami juga (Pakatan Rakyat) akan cuba buat bagaimana Umno (buat) arah polis angkat Speaker. Kita pun nak cuba belajar angkat Speaker.
"Adakah Tuanku nak tengok, nak biar dunia tengok, bahawa berlaku lagi kemelut dan huru hara dalam Dewan Undangan Negeri Perak,"ujarnya.
Menurutnya, kemelut tersebut merupakan rantaian dari tindakan 'rampasan kuasa' yang telah dilakukan oleh Umno-BN pada Februari 2009 lalu.
Katanya, seluruh rakyat negeri Perak bersama-sama Pakatan Rakyat yang mahukan Dun Perak dibubarkan segera.
Meski pun, katanya hanya diberi kuasa selama 12 jam pada 11 Mei 2009 lalu oleh mahkamah masih sempat menulis surat kepada Tuanku Sultan Perak memohon agar Dun Perak dibubarkan.
"Umno terpaksa rampas (dan) teruskan proses merampas. Setelah dia rampas kuasa dia rampas Speaker, lepas dia rampas Speaker dia rampas keputusan Mahkamah Tinggi.
"Keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei 2009 telah memberikan 'keabsahan' kepada saya dan Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar yang sah dan kerajaan yang sah.
"Sebaik sahaja dia (hakim) memutuskan keputusan itu, saya dan rakan-rakan terus ke Masjid Kampung Pandan dan melakukakan solat sunat.
"Selepas itu, saya 'berlari' (bergegas) dalam kereta minta buatkan surat. (apabila) Saya sampai di Ipoh surat dah sedia, (saya) ambil surat dan bawa pergi ke Istana," ujarnya menceritakan rentetan peristiwa di Perak.
Malangnya, kata beliau apabila sampai ke Istana pada jam 10.30 malam tidak dibenarkan masuk bagi menghadap Sultan Perak.
Menurutnya, dalam surat tersebut memohon perkenan Sultan agar membubarkan Dun Perak.
"Dalam surat itu, saya nyatakan ke bawah Duli Yang Mulia Sultan Perak. Oleh kerana, Mahkamah Tinggi mengabsahkan patik sebagai Menteri Besar, maka patik nak serahkan kuasa itu kembali kepada rakyat. Apa sudi kiranya, Tuanku memperkenankan dibubarkan Dewan Undangan Negeri Perak,"jelasnya.
Pada majlis tersebut sejumlah RM22,000 berjaya dikumpulkan oleh MTD Chukai bagi mengisi Dana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.