Isnin, 15 Oktober 2012

RAPID KL dan IWK alami kerugian lebih 1 Billion hingga akhir 2010 ~ Laporan Audit Negara

LAPORAN AUDIT Dua syarikat kerajaan Rangkaian Pengangkutan Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengalami kerugian lebih RM1 bilion sehingga akhir 2010, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011.


Menurut laporan itu, IWK terus mengalami kerugian sehingga mencatatkan angka RM888.81 juta sehingga akhir 2010, manakala RapidKL pula mengalami kerugian terkumpul RM293.82 juta antara 2008 hingga 2010.

Laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini antaranya menunjukkan IWK menanggung kerugian akibat terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan untuk menampung perbelanjaan operasi yang semakin meningkat.

RapidKL pula dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini hanya mencacatkan keuntungan pada tahun 2009 selepas mendapat peruntukan kerajaan berjumlah RM112.23 juta bawah pakej rangsangan ekonomi.

Audit juga mendapati terdapat kelemahan pengurusan dokumen kewangan serta kawalan dalaman sistem kutipannya.

Maklum balas RapidKL dalam laporan tersebut menyebut, kerugian yang dialami itu berpunca daripada kos pekerja dan kos penyelenggaraan yang sentiasa meningkat.

Selain itu, syarikat itu juga tidak pernah meningkatkan kadar tambang sejak mula beroperasi pada 2005 dan menganggarkan keadaan kewangan yang "lebih sukar" bagi membiayai perbelanjaan operasi sekiranya tidak menaikkan kadar tambang tren dan bas.

Syarikat itu juga akan terus memerlukan bantuan berterusan daripada Prasarana dan kerajaan sekirana tidak berbuat demikian, menurut maklum balas itu.

Bagaimanapun, syarikat itu berikrar untuk terus memperbaiki kedudukan kewangan syarikat serta memastikan semua inisiatif untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi berjalan lancar.

IWK pula dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit menyebut, prestasi kewangannya kurang memuaskan sejak tiga tahun lalu kerana kadar tarif pembetungan yang rendah sedangkan kos operasinya meningkat saban tahun.