Setiap kali Ramadan, ramai umat Islam mengambil kesempatan berbuka puasa di luar seperti di hotel, restoran, kafe dan sebagainya. Malah, bukan sesuatu yang menghairankan, sebelum kedatangan puasa lagi ramai yang sudah pun bercadang dan merancang untuk berbuka puasa di luar. Apatah lagi, dalam masyarakat di negara ini belum pun umat Islam berpuasa, peniaga sudah pun mengeluar dan mengedarkan risalah serta katalog dan memaparkan iklan tawaran promosi berbuka puasa.
Potongan harga rendah dan pelbagai tawaran menarik yang diketengahkan menyebabkan ramai terpikat untuk makan dan berbuka puasa di luar. Lebih-lebih lagi, ada berpendapat, setahun sekali berpuasa lantaran itu apalah salahnya berbuka puasa bersama keluarga di luar. Selain itu ada juga yang berpendapat, cara atau pendekatan itu antara paling mudah untuk mengumpulkan ahli keluarga dan mengeratkan silaturahim.
Namun, sering kali berlaku berbuka puasa di luar boleh menyebabkan kos perbelanjaan keluarga meningkat, di samping sering berlaku pembaziran. Bukan mustahil perkara seumpama itu boleh terjadi kerana lazimnya, selepas seharian berpuasa jarang sekali individu boleh makan banyak walaupun terdapat aneka pilihan makanan yang ada depan.
Lalu, ada yang berasa rugi kerana makanan mampu ‘di terima perut’ tidak senilai dengan harga dibayar, mungkin mencapai sehingga beratus-ratus ringgit untuk seorang makan. Makan di luar juga pasti memerlukan belanja lebih banyak berbanding makan di rumah, ditambah lagi jika individu itu ingin mencuba menikmati makanan berbeza atau tidak sama dengan makanan yang mudah disediakan sendiri.
Perunding dan Perancang Kewangan, Sunthara Segar, berkata tidak kira sama ada memilih makan di hotel, restoran, kafe atau warung yang penting, perbandingan kos.
Justeru, individu bebas memilih atau menentukan di manakah tempat untuk menjamu selera dan memenuhi cita rasa diinginkan.
“Setahu saya berbuka puasa sebenarnya bukan untuk memuaskan nafsu hati dan perut. Contohnya, kalau hotel itu menawarkan pakej keluarga yang berpatutan, bolehlah dipertimbangkan. Kalau warung tetapi kosnya lebih tinggi maka ia patut dielakkan. Begitu juga di restoran dan kafe. Harus ingat, apabila membandingkan kos jangan lupa masukkan kos parkir, kos kerugian masa kerana mencari tempat dan kos pengangkutan,” katanya memberi beberapa panduan untuk makan di luar.
Sunthara berkata, bagi keluarga yang mempunyai anak, faktor utama yang harus difikirkan apabila berhasrat makan atau berbuka puasa di luar ialah keselesaan dan kemudahan untuk anak seperti bayi, contohnya ada tandas serta tempat menukar lampin.
Kedua, dari segi kualiti makanan sama ada pemakanan yang berzat dan sesuai untuk anak membesar. Ketiga, kos keseluruhan. Ini bermakna, jika anak lebih dari lima biasanya berbuka di rumah lebih jimat, di samping boleh mengeratkan kemesraan keluarga. Amalan lebih baik, boleh berkongsi juadah berbuka puasa dengan jiran.
Namun, jika ingin makan di luar ada beberapa cara terbaik atau yang boleh membantu individu itu untuk membuat tinjauan atau perbandingan harga terhadap sesuatu promosi ditawarkan. Ini termasuklah, melalui cadangan kawan, media bercetak dan maklumat internet. Contohnya, Googlekan “pakej bulan puasa”. Ada banyak capaian memberikan maklumat mengenai pakej tahun lepas dan sekarang.
Lepas itu buatlah perbandingan sehingga dapat memuaskan hati. Jika masih belum berpuas hati, buat panggilan telefon untuk bercakap secara langsung dengan kakitangannya,” katanya.
Sunthara turut menyarankan membuat bajet apabila ingin berbuka puasa di luar. Tujuan utamanya ialah untuk mengawal atau menetapkan perbelanjaan kewangan supaya tidak tersasar atau belanja berlebih-lebihan.
“Buat bajet. Prinsipnya ialah tentukan bajet maksimum dan minimum untuk setiap hari tidak kira, makan di luar atau tidak. Darab dengan 30 dapatlah bajet sebulan. Semak dengan pendapatan bersih lepas tolak perbelanjaan lain dan simpanan wajib. Kalau negatif kenalah laraskan balik atau kurangkan buka puasa di luar. Kalau positif (positif tapi kecil sangat dikecualikan) teruskan.
Selepas dapat jumlah bajet, cuba pantau dalam minggu pertama sama ada lari banyak dari bajet atau terkurang bajet. Kalau kurang baguslah kerana ia bermakna sudah ada duit lebih tetapi kalau asyik lari, kenalah hati-hati berbelanja,” jelas Sunthara secara ringkas dan menyarankan membaca buku tulisannya, Bijak Urus Wang Kunci Bebas Hutang bagi mendapatkan format bajet terperinci.
Apa pun yang pasti, tidak kira sama ada memilih berbuka di luar atau di rumah, seharusnya ia bertitik tolak daripada kesedaran dan perancangan kewangan yang teliti. Untuk itu, rancanglah perbelanjaan dengan rasional dan teliti setiap aliran masuk dan keluar, adakah ia menepati bajet dan keperluan sekeluarga setiap hari.
Selain itu umat Islam harus ingat, Ramadan adalah bulan untuk berpuasa dan sewajarnya soal makan tidak dijadikan keutamaan sehingga melebihi keinginan mendapatkan lebih banyak pahala dalam melakukan ibadat puasa itu sendiri.