Isnin, 9 November 2009

BINTANG NUR KASEH .. PIKAT MAKCIK2 DGN TUDUNGNYA..



NAMA Tiz Zaqyah tiba-tiba meletup. Dia meletup bukan kerana mendapat gelaran Datuk atau memenangi anugerah. Pertama Tiz meletup kerana watak alim dalam drama Nur Kasih arahan Khabir Bhatia.
Kedua, kerana gambar seksinya di sebuah kelab hiburan tersebar di Internet. Ini yang membuatkan namanya menjadi bualan.
Kerana itu biar pun baru empat tahun menjadi artis, Tiz menempatkan namanya sebaris dengan bintang popular lain kerana kontroversi gambar seksinya.
Dalam tempoh empat tahun sebagai pelakon, Tiz terlibat dalam dramaImpian Ilyana, Bernafas Dalam Lumpur, Gol & Gincu serta Putih. Wataknya dalam drama itu sekadar sampingan.
Tetapi hari ini Tiz Zaqyah mampu melonjakkan namanya dek kerana kekuatan lakonan dalam Nur Kasihitu.
Gadis berasal dari Kuala Lumpur ini mengakui dia merupakan artis beruntung. Masa awal-awal dahulu tiada siapa pun yang ambil peduli tentang Tiz.
Sekarang semuanya sudah berubah. Nama Tiz cukup dikenali. Watak bertudung dalam Nur Kasih berjaya memikat golongan ibu-ibu dan makcik-makcik yang jatuh hati dengan wajah ayunya itu.
Nampak suci dan baik sahaja. Ironinya pada masa yang sama juga gambar seksinya di majlis sosial diedarkan di Internet. Namun, ada juga di kalangan mereka yang sudah memasang cita-cita untuk bermenantukan pelakon ketinggian 5 kaki 3 inci ini.
"Tidak nafikan populariti sekarang bagaikan kejutan buat Tiz. Bila orang mula bercakap tentang Tiz sebenarnya ada kesan sampingan. Kalau orang berniat baik, mereka sokong apa sahaja yang Tiz lakukan.
"Kalau tidak, mereka cuba menggali semua kelemahan atau keburukan Tiz dan sebarkan kepada semua," kata Tiz atau Siti Zaqlah Abdul Razak ini.
Kerana itulah gambar Tiz yang sedang "bersosial" di pusat hiburan bersama beberapa teman tersebar di Internet awal tahun lalu. Gambar itu tersebar ketika Nur Kasih disiarkan di TV3.
l Bukan gadis liar
Benar kata orang, sekeping gambar membawa seribu cerita. Gambar-gambar yang tersebar menggambarkan Tiz gadis yang begitu bebas. Pakaian di tempat berkenaan juga memang seksi dan berbeza dengan watak Nur Amina yang solehah dan bertudung litup.
Tiz berulang kali menjelaskan dia tidak terlibat dengan aktiviti kurang sihat itu walaupun gambarnya dilihat oleh orang ramai menerusi Internet.
Sementara penulis blog yang menyiarkan gambar itu pula menggunakan ayat keji dan turut mengaitkan perbuatannya itu dengan kekurangan didikan daripada ibu bapa.
"Tiz belajar daripada kesilapan. Tiz beruntung kerana punya ibu bapa yang memahami. Mereka sentiasa mengingatkan bahawa dunia artis ini berbeza. Apa yang kita lakukan dipantau dan dijadikan bualan semula. Gambar itu diambil sebelum Tiz menjadi artis lagi."
"Apa motif penyebaran tidak diketahui tetapi ia seakan-akan mahu menjatuhkan karier Tiz yang baru bermula. Bersosial tidak bermakna Tiz liar. Tiz seorang yang selamba tetapi tidak bermakna Tiz mudah untuk dipijak kepala," tegas peminat muzik jazz ini.