Selasa, 23 November 2010

PAKATAN RAKYAT PERLUKAN PERMUAFAKATAN POLITIK DISAMPING KEKUATAN POLITIK - SATU PENDAPAT

Jika dilihat kembali kepada krisis UMNO 1987, apabila berlaku pertandingan merebut jawatan presiden UMNO antara Dr. Mahathir Mohamed dengan Tengku Razaleigh Hamzah, dimana dalam pertandingan ini, Dr. Mahathir menang dengan majoriti yang tipis dan akibatnya UMNO berpecah dan kumpulan Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46. Tengku Razaleigh sendiri sedar bahawa seandainya Semangat 46 bertanding secara sendirian, harapan untuk mencapai kemenangan adalah tipis. Lantas, beliau lalu mempelopori penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), iaitu gabungan parti-parti pembangkang antara Semangat 46, Hamim dan Berjasa. APU juga mengadakan kerjasama dengan parti bukan Melayu seperti DAP dan AMIPF (parti baru yang diketuai oleh M.G. Pandithan yang dipecat dari MIC). Kerjasama APU dengan DAP dan AMIPF ini jelas menunjukkan bahawa kesemua parti-parti politik di negara ini mengakui bahawa kerjasama politik antara kaum adalah penting bagi memperolehi kemenangan dalam pilihan raya. Ini kerana tanpa sokongan dari semua kaum, maka adalah sukar untuk satu-satu parti politik mencapai kemenangan kerana untuk menang orang-orang Melayu perlukan undi dari orang-orang Cina dan India dan begitulah sebaliknya.

Pilihan raya umum 1990 menunjukkan walaupun parti pembangkang mewujudkan gabungannya sendiri, dan dikatakan mempunyai harapan yang cukup baik untuk mencabar kekuatan BN, namun pakatan ini masih belum diterima pada masa itu mungkin kerana dua sebab: pertama, ia hanya berbentuk untuk kepentingan sementara sahaja, iaitu sebagai marriage of convenience, dan keduanya, masing-masing parti yang bergabung mempunyai ideologi politik yang berbeza. Oleh sebab itulah, biarpun pembangkang mempunyai isu politik yang banyak di tangan, mereka tetap gagal kerana sistem politik permuafakatan yang menggabungkan kesemua kaum dalam satu barisan membolehkan BN mendapat undi dari pengundi yang mahukan kestabilan dan kerjasama antara kaum yang harmoni.

Pada pilihan raya tahun 1995, gabungan APU dan Gagasan Rakyat yang dibentuk oleh pembangkang pada tahun 1990 telah tidak bersatu lagi. Maka keadaan ini membolehkan BN menang besar dalam pilihan raya tersebut. BN hanya dicabar kembali dengan kuat oleh pembangkang dalam pilihan raya umum 1995 apabila Barisan Alternatif (BA) dibentuk. Gabungan BA ini dibentuk selepas Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri Malaysia dipecat dari jawatannya atas tuduhan melakukan hubungan seks luar tabii. Pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatannya telah menimbulkan krisis politik yang besar di Malaysia dan rakyat telah membuka mata dan melihat isu ini bersama isu-isu lain seperti isu keadilan, kebebasan kehakiman, isu rasuah dan pelbagai lagi. Namun, apabila keputusan pilihan raya diumumkan, BN masih lagi mampu untuk mengekalkan kemnenangan dua pertiga majoritinya. Pada pilihan raya umum 2004, setelah BA tidak lagi bersatu, maka BN sekali lagi berjaya dalam pilihan raya tersebut.

Kemenangan parti pemerintah ini boleh dianggap kerana negara kita mempunyai masyarakat majmuk dan pendekatan terbaik untuk memenangi pilihan raya masih perlu menerusi sistem politik permuafakatan. Pihak pembangkang yang belum memenangi pilihan raya umum (walaupun telah pun memenanginya dengan menidakkan 2/3 majoriti dalam PRU12 yang lepas) sebenarnya mempunyai banyak isu yang boleh mempengaruhi rakyat. Percayalah rakyat masih lagi percaya kepada kerjasama antara kaum sebagai asas untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.

Maka itu, selagi parti-parti didalam Pakatan Rakyat sekarang tidak menunjukkan kepada rakyat tentang perpaduan di kalangan anggotanya, maka selagi itulah sukar untuk memenangi pilihan raya di Malaysia dan pengundi akan terus mengundi status quo..

Shaiful Anuar Sulaiman
http://www.shaiful-hulusgr.blogspot.com/
23/11/2010


Setiausaha Agong PKR - Kongres Nasional PKR bincang mantapkan parti

Oleh Fazy Sahir PETALING JAYA: Kongres Nasional PKR kali ke-7 bermula Jumaat ini akan membincangkan secara terperinci mengenai pertambahan ‘muka-muka baru’ dan pembabitan ketara golongan muda wanita dalam pemilihan kali ini.
Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam kongres memandangkan pemilihan itu telah memberi hikmah kepada parti dalam menerima golongan muda dan baru bagi menghiasi pimpinan di cabang mahupun pusat kelak.
"Selesai pemilihan hampir 60 peratus kepimpinan muka-muka baru di cabang bagi jawatan ketua,timbalan,naib,ketua wanita dan lain-lain. Semakan awal juga mendapati peratus itu merupakan pertambahan ketara bagi golongan muda dan wanita," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Saifuddin berkata tumpuan kepada ucapan dasar presiden akan memfokuskan kepada pengukuhan dan keupayaaan parti sebagai sebuah parti berbilang kaum dengan keanggotaan 50 peratus Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus Sabah dan Sarawak yang dinamik dan berdaya saing.
Beliau menjelaskan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyentuh daya saing parti, pengukuhan imej parti dan komitmen PKR sebagai parti alternatif untuk semua.
"Tumpuan ucapan presiden turut menyentuh komitmen PKR untuk kukuh sebagai parti alternatif yang berkesan untuk menjadi pesaing Barisan Nasional (BN).
"Selain itu, ucapan turut menyentuh mengenai polisi pro-rakyat yang mengupas topik pendidikan, ekonomi dan komitmen parti. Malah isu-isu Melayu seperti visi Melayu turut akan diketengahkan dalam ucapannya nanti," jelas beliau yang juga ahli parlimen Machang.

Kongres tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini.
Sementara itu, kongres tahunan parti itu pada hari pertamanya akan menyaksikan perasmian serentak persidangan Wanita PKR dan AMK yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali.
Keesokkannya, Dr Wan Azizah akan menyampaikan ucapan dasar sekaligus merasmikan Kongres Nasional Tahunan PKR.
Semalam adalah hari terakhir cabang-cabang PKR mengadakan proses pengundian.
Sebanyak 218 daripada 222 cabang PKR berjaya mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.
Saifuddin berkata selepas berakhirnya pemilihan PKR semalam sebanyak 22 peratus ahli telah keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing.
"Hari terakhir pengundian jumlah yang keluar mengundi adalah sebanyak 13.6 peratus dan minggu lalu pula adalah 8.4 peratus yang keluar.
"Ia melibatkan kira-kira 30,000 ahli parti yang telah menjalankan tanggungjawab," katanya.
Beliau berkata kejayaan parti menjalankan proses pengundian secara langsung ini adalah satu permulaan yang baik untuk PKR meneruskan proses yang sama pada masa akan datang.
"Ini adalah proses pemilihan yang pertama kali diadakan di Malaysia, jadi kita tidak boleh bandingkan dengan mana-mana parti sama ada Umno, MCA dan MIC.
"Tapi saya anggap ini merupakan satu permulaan yang baik untuk kita teruskan pemilihan ini pada masa akan datang," katanya.
Seramai 2,460 perwakilan dan 1,025 pemerhati yang berdaftar akan hadir ketika kongres tersebut.

Posted by RAKYAT MARHAEN

AZMIN - PENGKHIANAT AKAN DIBERSIHKAN DARI PARTI

Pemenang kerusi timbalan presiden PKR Azmin Ali berikrar untuk membersihkan parti itu dariapda "pengkhianat" ekoran tindakan dalam pemilihan dua bulannya yang mencemarkan imej parti di mata awam.
Bercakap kepada parlimen di lobi Parlimen, Azmin (kanan) - kini masih naib presiden - berkata, "pembersihan" itu akan bermula serta-merta selepas kongres PKR Ahad ini.
Beliau mendesak anggota parti pimpinan Datuk Seri Anwar dan isterinya itu membangunkan "prinsip kesetiaan" demi memastikan semangat reformasi tidak diketepikan dalam parti itu.
"Apabila pemimpin bersifat khianat, bukan sahaja parti akan tercalar malah tamadun sendiri boleh tumbang.
"Cuba lihat di Perak. Apabila ada dua pengkhianat, bukan sahaja parti retak, malah negeri juga tumbang (kepada BN)," kata Azmin
Katanya, parti mesti menginstitusikan latihan bagi menghasilkan kesetiaan dan menyerapkan ideologi parti kepada akar umbi.