Jumaat, 25 Mac 2011

Tahniah kpd pelajar SPM yang berjaya mendapat keputusan cemerlang!

SHAH ALAM - Seramai 2,229 daripada 65,844 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 di Selangor berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.
Peratus yang gagal dengan mendapat gred G mencatatkan penurunan sebanyak 42 orang iaitu 677 pada tahun 2009 kepada 635 orang pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Sulaiman Wak berkata, seramai 88 calon berjaya mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil dan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C mencatatkan peningkatan daripada 14,536 kepada 16,488 calon.
”Bilangan calon yang memperoleh pencapaian semua A+, meningkat 34 orang berbanding 2009 iaitu 54 orang. Tiga daripadanya berjaya mendapat 12A+, 17 mendapat 11A+, 49 mendapat 10A+ dan 19 mendapat 9A+.
“Tiga calon yang mendapat 12A+ ialah KugnethranA/L Parmusuan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Kampung Jawa 2, Klang dan dua orang pelajar daripada SMKA Maahad Hamidiah, Kajang iaitu Amirul Ikhwan Adlan dan Nur Azlyn Ahmad Fauzi,” katanya.
Sulaiman berkata, melalui gred purata sekolah (GPS) yang dikeluarkan, sebanyak 11 sekolah berada dalam kategori cemerlang antaranya Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak dan SBPI Rawang.
Katanya, daripada 85 mata pelajaran yang ditawarkan pada 2010, 45 subjek mencapai 100 peratus lulus, 25 subjek meningkat peratus lulusnya dan 17 subjek telah menunjukkan penurunan peratus lulus.
“Pencapaian bagi mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan kecuali Pendidikan Islam iaitu penurunan sebanyak 0.46 peratus iaitu 90.51 pada 2009 kepada 90.03 peratus pada 2010.
“Bagi mata pelajaran Sains Tulen pula, Fizik menunjukkan penurunan sebanyak 0.12 peratus daripada 99.19 pada 2009 kepada 99.07 peratus,” katanya.