Seorang pelajar perempuan mati lemas manakala dua lagi masih hilang sehingga pagi ini apabila jambatan gantung yang mereka lalui secara beramai-ramai untuk menyeberangi Sungai Kampar putus. Kejadian itu mengakibatkan 22 murid dihanyutkan air deras. Menurut The Star, 19 lagi murid ditemui selamat. Jambatan tersebut terletak di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar dalam kawasan SK Kuala Dipang. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam tadi. Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.