Ahad, 8 Julai 2012

Akhirnya Ella bernikah, akan bersanding pada 1 Disember @PICC

Ratu Rock popular, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 46, kini sah bergelar isteri apabila selamat diijabkabulkan dengan pasangan pilihan, Azhar Ghazali, 30, tepat jam 10.30 malam tadi. Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Teluk Gadong, Baharudin Abu Bakar dengan berwalikan abang sulung pengantin perempuan, Mohd Nor Izam Aminuddin, 55.

Ella menerima mas kahwin berjumlah RM50,300 tunai beserta tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki. Sebagai balasan, Ella menghadiahkan Azhar dengan sembilan dulang hantaran.

Dalam majlis yang dihadiri oleh saudara-mara dan kenalan rapat ini, Ella dan Azhar mengenakan sepasang persalinan berona krim rekaan Saiful Baharim. Pasangan pengantin baru ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 1 Disember hadapan.