Rabu, 2 September 2009

Nostalgia Pengajian di Lincoln, Nebraska 1981 - 1988


(Aku sendiri pun sudah lupa wajah aku yang kurusss..:) )
(Gambar ini diambik di Oak Lake, Lincoln.. kami buat pertemuan dan fishing menjadi aktiviti disamping potluck)
Pengajian hampir 6 tahun lebih di Amerika Syarikat (Tucson, Arizona sehingga ke Lincoln, Nebraska) memberikan banyak pengalaman pahit dan manis bersama kawan- kawan seMalaysia (bukan SatuMalaysia)..
Apabila FB (Facebook) ini muncul maka di jadikan tempat perhubungan, semua punyai FB masing-masing, aku pun terkejut melihat wajah kami semua telah bertukar, almaklumlah sudah jelas banyak perubahan kepada kami semua, semuanya diambang 40an..
Semua dengan kerjaya masing-masing, semoga kewujudan rangkaian ini (FB) akan terus menjadi titik permulaan kami semua berhubung.. apabila dikira hampir lebih 25 tahun agaknya tidak bertemumuka dan berhubung, mungkin setengahnya bersms dan ada yang bertalipon.. Namun kami berharap dapat berkumpul dan bergambar seperti dahulu...
@SAS

Sambutan ringkas tetapi bermakna


KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 hari ini mungkin yang paling ringkas dalam sejarah apabila berlangsung kurang 40 minit, namun ia tetap menaikkan semangat bangga dan cintakan negara.
Lebih bermakna, acara itu diadakan di Dataran Parlimen, lambang sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.
Dalam masa yang singkat itu, semua aspek penting berjaya diterapkan dengan penuh teratur dan sistematik sehingga sambutan serba ringkas menjadi amat menarik dan tidak memenatkan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun tanpa perarakan lazim iaitu kereta berhias, perbarisan anggota tentera dan perarakan kontinjen peserta, sambutan tahun ini tetap meriah.
Secara keseluruhan, hampir 10,302 peserta daripada pelbagai kontinjen termasuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kementerian-kementerian, agensi awam, badan-badan berkanun, swasta dan sebagainya terlibat dalam menjayakan sambutan bertemakan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Program sambutan kali ini dimulakan dengan pergerakan masuk 500 anggota kontinjen keselamatan yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat diikuti dengan pergerakan masuk Kawalan Kehormat Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Kawalan Kehormat Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd. Radzi Othman.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pada pukul 7.45 pagi diikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa minit selepas itu.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tiba pukul 8 pagi dan sejurus itu lagu Negaraku dinyanyikan bersama pertunjukan lintas udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Seri Paduka kemudian melakukan pemeriksaan terhadap KKU dengan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.
Seterusnya, acara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Negaraku dengan selingan tembakan 14 das meriam dilakukan sebelum bacaan ikrar oleh tujuh warga pendidik yang secara simbolik mewakili tujuh kaum utama di negara ini.
Program kemudian diteruskan dengan persembahan koir Malaysia Tanah Airku oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan persembahan lagu Muhibbah, Jalur Gemilang dan 1Malaysia dinyanyikan.
Menjelang pukul 8.30 pagi, acara sambutan berakhir selepas Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat.
Seri Paduka dan para pembesar serta pemimpin lain mula meninggalkan majlis selepas itu.
Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun tempoh sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 agak singkat, ia memberi impak yang sangat bermakna.
"Ringkas tetapi semua penjiwaannya dapat kita rasai seperti dilihat di tepi jalan dan kiri kanan gerbang masuk ke Parlimen.
"Kita lihat di sini tidak semestinya sesuatu perayaan kemerdekaan itu dibuat besar-besaran sehingga kita membelanjakan berjuta-juta ringgit wang rakyat.
"Dengan adanya penyusunan pada pagi ini, kita dapat membuktikan bahawa dengan belanjawan yang terhad tetapi dengan penglibatan rakyat, kita dapat impak yang sama," katanya ketika ditemui selepas sambutan berkenaan.
Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 diadakan sederhana kali ini berikutan penularan penyakit selesema babi atau H1N1 dan bulan Ramadan.