Jumaat, 13 Februari 2015
ALFATIHAH...PERGINYA SEORANG ULAMA ISLAM MALAYSIA
KOTA BHARU 12 Feb. - Negara kehilangan seorang tokoh politik dan ulama yang berpengaruh apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka di sini kira-kira pukul 9.40 malam ini.
Bekas Menteri Besar yang disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak beberapa tahun lalu itu telah dibawa pulang ke rumahnya sejam sebelum itu selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 20 Januari lalu.
Anaknya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh berkata, seluruh ahli keluarga berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.
“Ayahanda meninggal dunia di sisi seluruh kaum keluarga pada pukul 9.40 malam. Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan arwah ayahanda,” katanya dalam sidang akhbar ringkas di pekarangan rumahnya di sini malam ini.
Sementara itu, dalam laman sosial Facebooknya, Nik Mohamad Abduh mengumumkan solat jenazah ayahnya akan diadakan pada pukul 10 pagi esok di Masjid Tok Guru berhampiran rumahnya di Pulau Melaka di sini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin datang menziarahi jenazah ayahnya supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Semoga perjalanan tuan puan dari jauh dan dekat diberkati oleh Allah. Harap patuhi segala arahan bagi mengekalkan keselesaan buat semua dan perjalanan ayahanda menuju Tuhannya,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa pemimpin utama Pas negeri ini seperti Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut berada di rumah Allahyarham.
Malah ribuan orang telah memenuhi pekarangan rumah tersebut dan jalan untuk masuk ke Pulau Melaka sesak.
Pada 20 Januari lalu, akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz telah dimasukkan ke ICU HUSM dan berada dalam keadaan separa kritikal namun keadannya dikatakan agak stabil pada minggu lalu.
Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Guru telah mengikuti rawatan kemoterapi untuk mengubati kanser tersebut sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Beliau yang melepaskan jawatan Menteri Besar pada 6 Mei 2013 turut mendedahkan mengenai penyakit yang dihadapinya dalam temubual eksklusif bersama Mingguan Malaysia pada awal tahun lalu.
Nik Abdul Aziz yang mula menjadi wakil rakyat selepas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang dikenali Pengkalan Chepa) pada tahun 1967 dan mengekalkan kerusi tersebut sehingga beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri pada tahun 1986 sehingga sekarang.
Sepanjang pentadbirannya sebagai Menteri Besar selama 23 tahun sejak 1990, beliau memperkenalkan sistem pentadbiran Islam malah telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) atau hukum hudud untuk dilaksanakan di negeri ini.
Langgan:
Catatan (Atom)