Khamis, 17 November 2011

Ada pemimpin Pakatan sedia lantik Ku Li sebagai PM ~ Syed Husin


NONEBeberapa pemimpin Pakatan Rakyat dikatakan bersedia untuk menerima ahli parlimen Gua Musang Tengku Razeleigh, sebagai perdana menteri, dakwa bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali.

Katanya, perkara itu dipersetujui dengan syarat bahawa Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li dapat meyakinkan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 ahli parlimen BN untuk berpaling tadah dalam cubaan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Sept, 2008, untuk menggulingkan kerajaan BN.

Perkara itu didedahkannya menerusi buku terbarunya, Memoir Perjuangan Politik, yang dilancarkan malam, semalam.

Dalam buku itu, Syed Husin menulis, perkara itu adalah penting, kerana sebahagian besar ahli parlimen yang bersetuju meninggalkan BN itu adalah bukan bumiputera Islam. Pakatan, katanya mahu memastikan bahawa sokongan orang Melayu Islam, tidak terhakis.

Sambil mempertahankan bahawa usaha 16 September itu adalah benar, menurut pemimpin veteran itu lagi, Umno selepas mengetahui rancangan berkenaan, bergegas membawa kebanyakan ahli parlimen BN ke Taiwan, dan ada juga ke Macau dan New York, bagi memastikan rancangan itu tidak menjadi kenyataan.

10 ditangkap bawah ISA ~ janji apa ni

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Penangkapan terbaru membabitkan sekurang-kurangnya 10 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah Isnin lalu membuktikan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya 'sandiwara'.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ianya secara jelas menunjukkan bahawa Najib sememangnya tidak ikhlas dengan pengumumannya sebelum ini untuk memansuhkan ISA.

"Penahanan terbaru ini menjadi satu singgungan yang kuat kepada rakyat.

"Ia tak memberi apa-apa makna kepada janji perdana menteri untuk memansuhkan ISA melainkan hanya sandiwara untuk mendapat sokongan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat terbaru berhubung penahanan 10 aktivis Islam di bawah akta itu di Sabah, 14 November lalu.

Semalam, Pesuruhjayanya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Menurutnya, keluarga atau waris yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian bahawa mereka ditangkap di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Menurut Syed Ibrahim, GMI bagaimanapun mendapat maklumat sekurang-kurangnya 11 hingga 14 orang yang ditangkap dalam operasi hari tersebut.

"(Dengan pengumuman Najib) Kita jangka tak ada lagi tangkapan besar-besaran seperti apa berlaku ini.

"Tapi malangnya kita lihat tindakan tidak menyokong janji yang dibuat," jelasnya sambil mendakwa akan mengeluarkan kenyataan rasmi GMI hari ini.

Sementara itu, GMI menurutnya akan mendapatkan maklumat lanjut dari waris mangsa tahanan untuk membuat tidakan susulan.

Beliau menyeru pihak keluarga terutamanya dan PAS Sabah memberi kerjasama untuk tujuan tersebut.

"Ramai yang ingat (selepas pengumuman Najib), tidak ada lagi mangsa yang ditahan, dan tiadak ada lagi yang akan ditahan.

"Sebenarnya masih ada yang belum dibebaskan dan masih berlaku tangkapan-tangkapan baru," jelasnya.

harakahdaily/-