Selasa, 25 Mei 2010

KONGRES PKR 28 - 30 MEI MINGGU INI DI KOTA BHARU..


KOTA BHARU, 25 Mei: Kira-kira 2,500 perwakilan dan pemerhati Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berkampung di sini selama tiga hari bermula 28 Mei bagi menghadiri Kongres Nasional yang bertemakan Harapan Baru Selamatkan Malaysia.
 
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri, Abdul Aziz Kadir (gambar) berkata, perwakilan yang terbabit dalam kongres berkenaan seramai 1,500 orang dan selebihnya di kalangan pemerhati yang datang dari seluruh negara.

Katanya, pada 28 Mei diadakan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala kongres penuh pada 29 dan 30 Mei bertempat di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) Kota Bharu.

“Perasmian kongres Wanita dan AMK akan dilakukan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, manakala majlis perasmian kongres penuh pada Sabtu disempurnakan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,” katanya di sini.

Kongres Wanita diadakan di KTC, manakala kongres AMK di Perdana Resort.

Abdul Aziz juga anggota parlimen Ketereh berkata, Kongres Nasional yang julung kali diadakan di Kota Bharu dijangka membincangkan usaha-usaha memantapkan parti di samping persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya, antara tetamu yang dijemput khas menghadiri perasmian kongres termasuk duta-duta asing di Malaysia dan pemimpin utama Pakatan Rakyat.

”Kongres yang diadakan di Kelantan akan memberi manfaat besar kepada parti khususnya dalam menyuntik semangat baru kepada anggota parti peringkat akar umbi.

”Ini berikutan tindakan diambil beberapa pemimpin yang bertindak keluar parti sebelum ini. Peristiwa yang berlaku itu sekali-kali tidak pernah melemahkan semangat kami,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa kemungkinan akan berlaku sabotaj di kalangan bekas anggota PKR bagi menggagalkan kongres berdasar beberapa maklumat yang diterima.

Namun katanya, pihak pengurusan dan urusetia kongres sudah mengambil tindakan awal bagi mengelakkan perancangan jahat mereka tidak menjadi kenyataan. 

Katanya, sempena kongres berkenaan ceramah perdana akan diadakan di tujuh lokasi serentak pada malam 28 Mei membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Antaranya, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan berceramah di padang Dewan Majlis Daerah Tanah Merah.

Selain itu ceramah juga diadakan di Pasir Puteh, Jeli, Tumpat, Pasir Mas, Ketereh dan Besut.