Rabu, 6 Oktober 2010

RADZUAN MENANG DI HULU LANGAT..

KAJANG - Mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 menjadi agenda utama bagi Ketua Cabang Hulu Langat, Radzuan Ahmad yang menang dengan undian sebanyak 370 sekali gus mengalahkan dua calon lain.

Lebihan 11 undi telah menobatkan Radzuan sebagai Ketua Cabang Hulu Langat manakala dua calon lain, Lee Kim Sin dan Rosli Mohd Yusoff masing-masing mendapat undian sebanyak 359 dan 27.

Pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Langat 2010/2013 itu mempertandingkan Jawatankuasa Cabang, Jawatankuasa Wanita Cabang dan Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang.

Daripada 5,402 ahli PKR Cabang Hulu Langat hanya 14.62 peratus melibatkan 790 ahli keluar mengundi manakala 268 adalah undi rosak tetapi proses pengundian serta pengumuman berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden.

Radzuan berkata, bagi memastikan mereka dapat mengekalkan kemenangan itu maka perbincangan perlu dilaksanakan bersama semua sayap agar strategi yang dilaksanakan adalah terbaik.

“Selain mengekalkan kemenangan tersebut saya juga akan memastikan semua ahli cabang bersatu demi menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat sekitar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas pengumuman keputusan undian di sini, semalam.

Menurutnya, beliau pernah menjadi ketua cabang sementara pada 2003 dan kini telah bersara dan menumpukan sepenuh perhatian dalam politik serta bersedia untuk menghadapi setiap cabaran.

Lee Kim Sin berkata, walaupun kalah dengan 11 undian tetapi beliau masih tidak menyangka kerana memperoleh undian setinggi itu dan pemilihan tersebut adalah proses demokrasi yang dijalankan parti.

“Kerjasama akan sentiasa diberikan kepada ketua cabang memandangkan pelbagai cabaran dan masalah telah saya lalui sejak menjadi pemimpin lebih 10 tahun ini dan menjalankan tanggungjawab seperti biasa sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

“Kebanyakan pemimpin terpilih adalah muka baru dan kemenangan mereka adalah baik supaya dapat menjalani proses kepimpinan dan lebih mengenali tentang perjuangan,” katanya.

Kim Sin berkata, sebelum bertanding jawatan itu beliau adalah pemangku ketua cabang dan pernah menjadi ketua cabang Hulu Langat pada 2001 malah kini bersedia menjalankan tanggungjawab walaupun tidak menyandang jawatan itu.

Rosli Mhd Yusoff berkata, menang atau kalah adalah adat dalam setiap pertandingan dan kekalahan itu tidak pernah mematahkan semangat untuk terus bertanding bagi jawatan ketua cabang pada masa akan datang.

“Walaupun kalah tetapi kita sebagai ahli perlu bersatu dalam parti dan menjalankan tanggungjawab bersama dan bagi mereka yang telah dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan,” katanya.


Terimakaseh kpd sekretariat cabang yang mengawal keadaan di hari pemilihan cabang hulu selangor..(2 Okt 2010 Sabtu)