Ahad, 30 Ogos 2009

Pihak berkuasa perlu tegas tangani isu kuil

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas menjaga keamanan dengan tidak memandang remeh terhadap perbuatan yang menyalahi undang-undang dan menggugat ketenteraman awam serta hubungan kaum.
Ketua Penerangannya, Latheefa Koya berkata, polis Selangor gagal menghalang kejadian penduduk mengarak kepala lembu berkenaan daripada berlaku dengan alasan hanya boleh bertindak sekiranya mendapat laporan terlebih dahulu. Menurutnya, hal ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa pihak polis seolah-olah membenarkan atau mengalakkan perkara sebegini. “Agama Islam tidak pernah mengajar penganut Islam untuk mencemuh mahupun menghina agama atau kepercayaan orang lain malah telah melarang sekali orang-orang Islam berbuat sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam. Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan penduduk Seksyen 23, di sini yang berarak dan bertindak menghina kepala seekor lembu dalam memprotes isu penempatan semula sebuah kuil Hindu di kawasan mereka. Latheefa berkata, tindakan mereka ini dengan jelas bertujuan untuk mengaibkan dan menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci. Katanya, beliau percaya bahawa tindakan tersebut satu cubaan untuk mewujudkan kemarahan dan kebencian di antara orang-orang Islam dan Hindu sekaligus mencetuskan perbalahan kaum dan agama dan suasana tegang “Keadaan ini memberi peluang kepada UMNO untuk merampas balik Selangor sebagaimana yang dilaung-laungkan kononnya atas nama bangsa dan agama,” katanya. Bagaimanapun, PKR meminta semua pihak berkenaan bertenang dan berwaspada supaya tidak terperangkap dengan reaksi yang boleh mencetuskan insiden-insiden berunsur perkauman dan agama.

Kerajaan Selangor kecewa dgn demo kepala lembu...



SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini mengutuk dan melahirkan rasa kecewa terhadap bantahan "provokatif, tindakan kasar dan penggunaan secara sengaja" kepala lembu oleh sekumpulan penunjuk perasaan terhadap cadangan penempatan semula kuil Hindu di Seksyen 23 di sini.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dalam satu kenyataan, berkata: "Kami mengutuk insiden dan tindakan keji itu kerana ia telah menyebabkan seluruh negara mundur ke belakang di sebalik segala usaha ke arah menghormati satu sama lain dalam kalangan pelbagai kaum dan agama."
"Sesungguhnya ia suatu tindakan menyedihkan kerana sikap tidak bertolak ansur terhadap agama lain masih wujud di kalangan rakyat Malaysia."
Semalam, sekumpulan 50 orang mendakwa sebagai penduduk Seksyen 23 meletakkan kepala lembu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor dalam satu protes membantah pemindahan kuil itu.
Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyiasat insiden berkenaan.
Terdahulu hari ini, kira-kira pukul 10 pagi, empat wakil rakyat parti pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS mengadakan perbincangan berhubung insiden itu dengan Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Nor Azam Jamaluddin di pejabatnya di sini.
Wakil rakyat terbabit ialah Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran Ronnie Liu and ADUN Seri Andalas Dr A. Xavier Jayakumar.
Lapan laporan polis individu dikemukakn terhadap insiden berkenaan, masing-masing oleh Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Aruthchelvan; pegawai khas kepada Dr Jayakumar, Abdul Razak Ismail; dan enam anggota pihak berkuasa tempatan Selangor.
Nor Azam, ketika ditemui pemberita, berkata satu laporan polis dibuat semalam berhubung perhimpunan haram dan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis.
Beliau berkata polis juga akan mengadakan siasatan mengikut Akta Hasutan kerana insiden itu menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan terbuka mengenai cadangan kuil Hindu itu pada 5 September dan akan dihadiri penduduk Seksyen 23, pegawai Majlis Bandar Raya Shah Alam dan wakil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Penduduk Taman Ixora di Seksyen 23 Shah Alam telah beberapa kali membuat bantahan pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman itu dari Seksyen 19 ke kawasan mereka termasuk menyerahkan memorandum kepada Rodziah menerusi pegawai khasnya, Naim Yusri pada 14 Ogos lepas.
Menurut laporan, Pengerusi Badan Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil itu Ahmad Mahyuddin Abdul Manaf berkata, pembinaan kuil itu, di atas tanah perindustrian milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), adalah tidak sesuai kerana ia terletak 160 meter dari kawasan penempatan yang 70 peratus penduduknya beragama Islam selain berdekatan dengan Surau Al-Jannah di taman itu.
Di KUALA LUMPUR, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menganggap insiden penduduk Seksyen 23 Shah Alam, yang membantah pembinaan kuil itu sebagai tindakan tidak wajar dan keterlaluan terutamanya di bulan mulia Ramadan.
Katanya, mereka sepatutnya mengawal emosi dan menjaga tata susila budaya dalam menyuarakan pendapat atau bantahan demi menjaga keharmonian awam.
"Rakyat Malaysia sepatutnya belajar daripada sejarah terutamanya selepas peristiwa 13 Mei. Apa yang mereka lakukan itu tidak akan boleh lepas daripada undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 di Dataran Parlimen di sini, hari ini.
Rais turut menasihatkan pihak media supaya tidak mensensasikan berita sedemikian yang boleh mencetuskan pergolakan kaum.