Rabu, 5 Mei 2010

Mahkamah bebas 10 aktivis Bersih

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Mahkamah Sesyen Jenayah 3 Jalan Duta di sini membebaskan 10 aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan di pekarangan bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007 lepas.
Hakim Fathiyah Idris semasa membaca penghakiman kira-kira jam 10.30 pagi tadi menyatakan, pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan adalah cacat.
Pihak pendakwa jelasnya, gagal membuktikan wujudnya perhimpunan haram pada hari tersebut yang menyalahi Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967.
Manakala pihak polis pula jelasnya lagi, hanya bertindak mengikut jangkaan bahawa akan berlakunya himpunan.
Antara mereka yang ditahan kerana dituduh menyertai perhimpunan itu ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Nasrudin Hassan dan Ustazah Nuridah Salleh, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali dan Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim.
Manakala lima lagi adalah Badilah Muda, Hashim Awang, Azira Arifin, Mohd Sabri Syafie dan Ang Hok Gan.
"Kita menganggap keputusan mahkamah hari ini adalah paling tepat."Pada hari itu kami datang ke parlimen atas tanggungjawab sivik kami untuk menghantar memorandum, kita bukan nak pergi berhimpun," kata Hatta selepas ditemui di luar bilik mahkamah.
Mereka pada jam 11.30 pagi, 11 Disember 2007, telah hadir ke bangunan parlimen bagi menghantar satu memorandum, mendesak kerajaan supaya tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu.
Ekoran itu mereka telah ditangkap dan dituduh mengadakan perhimpunan haram dibawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 (Akta 334) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) Akta yang sama.
Bersih dalam satu kenyataan sebelum 11 Disember 2007 itu, membantah usaha kerajaan meminda perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan kakitangan SPR.
Kerajaan dikatakan akan meminda Perlembagaan untuk melanjutkan umur persaraan anggota-anggota SPR dari usia 65 ke 66 bagi membolehkan Rashid terus berkhidmat.
Usul tersebut buat kali pertamanya dibentang secara tergesa-gesa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 20 November 2007 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz yang dibacakan untuk kali kedua pada 11 Disember tahun berkenaan.
BN ketika itu dikatakan amat memerlukan khidmat Rashid yang licik bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum 2008.