Sabtu, 27 Oktober 2012

JELAJAH MERDEKARAKYAT BERSAMA DS ANWAR, TS KHALID KE HULU SELANGOR


Program Jelajah Merdeka Rakyat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke beberapa lokasi sekitar Selangor pada Ahad ini bersamaan 28 Oktober 2012.
Turut menyertai jelajah itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali dan pimpinan lain.
Berikut ialah jaduah jelajah itu:
10 pagi: Pekan Sungai Besi
12.30 tengah hari: Warung Ibu Nasi Ambeng, Kg Sungai Gulang-Gulang, Permatang, Tanjung Karang
3 petang: Padang Sepaktakraw, Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam
5 petang: Felda Sungai Tengi Selatan
7 malam: Solat & tazkirah Maghrib di Masjid Abu Bakar Ali Bashah, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
9 hingga 10 malam: Pekan Rasa
9 hingga 12 tengah malam: Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Pusat Bandar Baru Batang Kali, Ulu Selangor. Penceramah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Tan Sri Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan N Surendran.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=38456

Isnin, 15 Oktober 2012

RAPID KL dan IWK alami kerugian lebih 1 Billion hingga akhir 2010 ~ Laporan Audit Negara

LAPORAN AUDIT Dua syarikat kerajaan Rangkaian Pengangkutan Deras Sdn Bhd (RapidKL) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengalami kerugian lebih RM1 bilion sehingga akhir 2010, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011.


Menurut laporan itu, IWK terus mengalami kerugian sehingga mencatatkan angka RM888.81 juta sehingga akhir 2010, manakala RapidKL pula mengalami kerugian terkumpul RM293.82 juta antara 2008 hingga 2010.

Laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini antaranya menunjukkan IWK menanggung kerugian akibat terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan untuk menampung perbelanjaan operasi yang semakin meningkat.

RapidKL pula dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini hanya mencacatkan keuntungan pada tahun 2009 selepas mendapat peruntukan kerajaan berjumlah RM112.23 juta bawah pakej rangsangan ekonomi.

Audit juga mendapati terdapat kelemahan pengurusan dokumen kewangan serta kawalan dalaman sistem kutipannya.

Maklum balas RapidKL dalam laporan tersebut menyebut, kerugian yang dialami itu berpunca daripada kos pekerja dan kos penyelenggaraan yang sentiasa meningkat.

Selain itu, syarikat itu juga tidak pernah meningkatkan kadar tambang sejak mula beroperasi pada 2005 dan menganggarkan keadaan kewangan yang "lebih sukar" bagi membiayai perbelanjaan operasi sekiranya tidak menaikkan kadar tambang tren dan bas.

Syarikat itu juga akan terus memerlukan bantuan berterusan daripada Prasarana dan kerajaan sekirana tidak berbuat demikian, menurut maklum balas itu.

Bagaimanapun, syarikat itu berikrar untuk terus memperbaiki kedudukan kewangan syarikat serta memastikan semua inisiatif untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi berjalan lancar.

IWK pula dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit menyebut, prestasi kewangannya kurang memuaskan sejak tiga tahun lalu kerana kadar tarif pembetungan yang rendah sedangkan kos operasinya meningkat saban tahun.

Khamis, 4 Oktober 2012

125,000 untuk singkirkan Selangor


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menawarkan bonus RM125,000 kepada pemain Red Warriors jika menewaskan Selangor dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2012.
Kelantan dijadual menentang Selangor dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Sabtu ini.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa (gambar) menjelaskan, pihaknya turut memberikan bonus RM75,000 kepada pemain selepas Kelantan layak ke separuh akhir menewaskan Felda United secara agregat 4-3 kelmarin.
Jika mereka berjaya menjulang kejuaraan Piala Malaysia, KAFA akan menyediakan satu lagi bonus buat mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pembahagian Hasil Padi dan Zakat Projek Ladang Merdeka Jabil Musim II/2011 di Ketereh dekat sini, semalam.
Dalam saingan suku akhir kedua kelmarin, Kelantan terpaksa berhempas-pulas sebelum layak ke separuh akhir dengan agregat 4-3 setelah mengikat Felda United 2-2.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Kelantan di laman sendiri.
Sementara itu, Annuar menolak tuduhan pihak tertentu bahawa prestasi turun naik Red Warriors kebelakangan ini berpunca daripada kegagalan pihaknya membayar bonus kepada pemain.
Sebaliknya, beliau memberitahu, sehingga kini KAFA telah membayar bonus melebihi RM500,000 kepada pemain dan pegawai pasukan.
Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding dengan apa yang telah dibayar sepanjang musim lalu," tegas beliau.
Annuar yang kecewa dengan tuduhan tersebut menjelaskan, pemberian bonus bergantung kepada budi bicara kelab dengan mengambil kira sumbangan pemain dan ia bukan wajib.
Isu ini sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan pasukan. Saya ingin tekankan kepada pemain dan pengurusan supaya tidak terlibat dalam isu ini," ujarnya.