Ahad, 10 Mei 2009

ISA: Pembebasan Sekadar Mengaburi Isu Pencabulan Perlembagaan Negeri Perak

Saya gembira sebaik dimaklum berkenaan pembebasan 13 orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuklah tiga orang pimpinan Hindraf.
Kesemua mereka termasuk beberapa rakan yang didakwa terlibat dalam keganasan tanpa bukti - satelah 6-7 tahun ditahan telah mengharungi dugaan ini dengan penuh kesabaran.
Meski pun kepedihan dan kesengsaraan yang ditanggung amat berat, mereka tetap teguh berpegang kepada prinsip perjuangan serta tidak mahu menyerah kepada tuntutan pemerintah agar patuh pada beberapa syarat mengongkong.
Syabas saya ucapkan kepada saudara P. Uthayakumar dan rakan-rakan lainnya. Maka seharusnya rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui apakah status sebenar tahanan yang dibebaskan walau sebelum ini mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan keganasan.
Mereka semua perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya dan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri seharusnya memohon maaf kepada mereka. Sepanjang ditahan, kerajaan seringkali memutarkan fitnah kononnya mereka semua terlibat dengan aktiviti keganasan, namun tidak pula dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.
Nah! Sekarang sekonyong-konyong dibebaskan tanpa penjelasan. Jelaslah walau apapun penjelasan, juga justifikasi yang diberikan, ISA perlu dimansuhkan serta merta dan kesemua tahanan perlu dibebaskan. Undang-undang kuku besi lagi kuno ini sudah tidak mempunyai tempat jika benar-benarlah perubahan yang dihajati.
Kenyataan Menteri Dalam Negeri semalam membuktikan kerajaan sememangnya tidak berhasrat untuk memansuhkan ISA. Beliau menyifatkan pembebasan 13 tahanan semalam hanya berdasarkan keadaan bukannya kerana akta tersebut zalim.
Maka jelas terbukti lantaran tertekan dengan kebiadapan wakil-wakil rakyat BN sewaktu sidang DUN Perak tempoh hari, langkah pembebasan ini hanya sekadar satu upaya untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar iaitu pencabulan perlembagaan serta prinsip demokrasi di negeri Perak.
@ANWAR IBRAHIM

Aril berjaya melangkah ke konsert akhir apabila menerima undian tertinggi menerusi AF Masuk


KUALA LUMPUR: Khairil Azam Pilus atau Aril berjaya menempah tempat ke konsert akhir Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) minggu depan apabila dia diserap semula menerusi undian AF Masuk dan sekaligus menyertai empat peserta akhir lain iaitu Ismaliza Ismail (Isma), Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), Afiq Hakim Ahmad (Akim) dan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid).
Menerusi undian AF Masuk yang boleh dilakukan oleh penonton sejak minggu lalu itu, Aril yang tersingkir pada minggu ketujuh yang lalu telah menerima undian tertinggi sebanyak 52.5 peratus menewaskan sembilan lagi peserta yang turut tersingkir sebelum ini iaitu Aishah dengan 26.6 peratus, Zizi (7%), Sidi (6%), Claudia (5%), Qhaud (2%), Rini (0.8%), Rubisa (0.4%), Obri (0.3%) dan Nas Adila (0.2%).
Yazid
Aril, Isma, Hafiz, Akim dan Yazid akan beraksi di konsert akhir yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada Sabtu depan.
Mengulas mengenai AF Masuk yang dibuat itu, kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, elemen itu diperkenalkan semula pada musim ini setelah mengambil kira faktor 'kehebatan' peserta-peserta kali ini.
Hafiz
"Kali ini kita dapat saksikan persaingan antara setiap peserta begitu sengit daripada aspek peratusan undian. Lantaran itu, kami ingin memberi peluang kepada penonton untuk memilih siapa yang mereka rasakan layak berada di konsert akhir dan seterusnya memenangi gelaran juara kali ini.
"Dan saya rasa kali ini juga memberikan kelainan tersendiri kerana hanya Isma merupakan satu-satunya peserta wanita yang akan berentap di peringkat akhir," katanya sejurus berakhirnya konsert mingguan AF7, di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Isma
Namun begitu, Khairul menafikan bahawa undian AF Masuk sememangnya sengaja dibuat bertujuan untuk membawa semula Aril ke dalam Akademi.
"Baik Aril mahupun peserta-peserta lain yang telah tersingkir, semuanya berbakat. Sebenarnya, AF Masuk ini telah dibincangkan bersama oleh pihak produksi dan pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina sejak awal lagi.
"Melalui perbincangan itu, kami berpendapat kemungkinan akan buat AF Masuk jika pengetua merasakan ianya perlu. Tapi ketika minggu-minggu terawal dulu, kami sendiri tidak pasti akan lakukannya atau tidak.
"Sehinggalah ketika minggu-minggu seterusnya sewaktu Qhaud tersingkir, kami memikirkan semula tentang perkara ini," kata Khairul.
Akim
Dalam pada itu, Tiara pula berkata, dia mengambil keputusan untuk melakukan AF Masuk pada minggu lalu kerana merasakan ia adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.
"Minggu-minggu sebelumnya, saya tidak rasa perlu melakukannya. Bukan saya maksudkan peserta-peserta yang tersingkir itu tidak hebat, tetapi saya rasakan penyingkiran dua peserta minggu lalu, Claudia dan Aishah adalah antara peserta yang 'kuat'.
"Dan sebab itu saya putuskan untuk buat AF Masuk," kata Tiara.
Sementara itu, ditanya tentang AF Masuk yang dilihat tidak adil buat empat peserta akhir yang berjaya bertahan sehingga minggu kesembilan ini, kata Khairul, dia akui elemen ini mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu.
"Memang benar bagi sesetengah orang, ia dilihat tidak adil kerana keempat-empat peserta itu telah bersusah payah untuk berada di tahap ini. Tetapi AF bukan hanya pertandingan nyanyian semata-mata, ia turut diselitkan dengan pelbagai elemen lain termasuklah 'drama'.
"Kami sebelum ini juga sering menerima komen daripada penonton yang mahukan AF Masuk dibuat semula. Jadi, bila penonton menyuarakan apa yang mereka mahu, kami perlu fikirkan dan ambil kira perkara itu kerana program yang kami buat adalah untuk mereka (penonton)," kata Khairul.

Polis, FRU Ceroboh Sambutan Ke 10 PKR di Tasik Puteri, Rawang


Takutkan tsunami politik kedua selepas insiden keganasan polis di dalam Dewan Undangan Negeri Perak dua hari lalu, Barisan Nasional mengarahkan lebih 50 anggota polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan untuk menceroboh tapak sambutan ulangtahun ke 10 Parti Keadilan Rakyat di Tasik Puteri, Rawang serta membatalkan permit bagi mengadakan acara tersebut.