Khamis, 4 Oktober 2012

125,000 untuk singkirkan Selangor


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menawarkan bonus RM125,000 kepada pemain Red Warriors jika menewaskan Selangor dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2012.
Kelantan dijadual menentang Selangor dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Sabtu ini.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa (gambar) menjelaskan, pihaknya turut memberikan bonus RM75,000 kepada pemain selepas Kelantan layak ke separuh akhir menewaskan Felda United secara agregat 4-3 kelmarin.
Jika mereka berjaya menjulang kejuaraan Piala Malaysia, KAFA akan menyediakan satu lagi bonus buat mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pembahagian Hasil Padi dan Zakat Projek Ladang Merdeka Jabil Musim II/2011 di Ketereh dekat sini, semalam.
Dalam saingan suku akhir kedua kelmarin, Kelantan terpaksa berhempas-pulas sebelum layak ke separuh akhir dengan agregat 4-3 setelah mengikat Felda United 2-2.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Kelantan di laman sendiri.
Sementara itu, Annuar menolak tuduhan pihak tertentu bahawa prestasi turun naik Red Warriors kebelakangan ini berpunca daripada kegagalan pihaknya membayar bonus kepada pemain.
Sebaliknya, beliau memberitahu, sehingga kini KAFA telah membayar bonus melebihi RM500,000 kepada pemain dan pegawai pasukan.
Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding dengan apa yang telah dibayar sepanjang musim lalu," tegas beliau.
Annuar yang kecewa dengan tuduhan tersebut menjelaskan, pemberian bonus bergantung kepada budi bicara kelab dengan mengambil kira sumbangan pemain dan ia bukan wajib.
Isu ini sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan pasukan. Saya ingin tekankan kepada pemain dan pengurusan supaya tidak terlibat dalam isu ini," ujarnya.