Isnin, 27 Februari 2012

SIAPA DALANG DISEBALIK PERANGKAP DR BADRULAMIN?

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrulamin Bahron mendakwa insiden beliau ditangkap khalwat dengan seorang wanita bersuami pada Sabtu lalu merupakan perangkap terancang yang didalangi Umno.

Malah menurut beliau, suami wanita berkenaan yang dikenali sebagai Faizal turut terlibat dalam usaha menganiaya dan menghancurkan karier politiknya.

"Faizal yang merupakan suami kepada wanita berkenaan dipercayai terlibat dalam rancangan untuk memerangkap saya.

"Malah saya diberitahu oleh bapa wanita itu bahawa seorang pemimpin Umno menghubungi dia bagi mendapatkan nombor telefon bimbit Faizal. Jadi saya percaya semua ini ada pertalian dan hubung kait bagi memerangkap saya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.