Semestinya kalau kita hidup dalam era mana-mana pun, pasti ada jurang generasi antara yang muda dan tua. Walaupun tidak seteruk jurang yang wujud 15, 20 tahun dahulu, tetapi jurang itu tetap ada.
Jadi, sebagai merenung tahun 2011 yang bakal tiba beberapa jam lagi aku ingin kongsi senarai perkara-perkara yang mengingatkan aku yang esok aku akan menjadi tua setahun lagi. Perlu diingatkan ini adalah senarai ‘tua’, bukan ‘purba’.
1. Kamu Sempat Menonton TV Hitam Putih.Aku rasa satu sebab aku suka rekabentuk monokrom adalah kerana aku membesar dengan menonton peti TV hitam putih. Malah, TV dahulu pun berbentuk seperti peti/perabot jika kamu ingat. Aku ingat lagi menonton siri TV Six Million Dollar Man dan Fantasy Island dalam hitam putih. Jadi bayangkanlah berapa terujanya aku bila aku akhirnya dapat menonton montaj ‘Cumi & Ciki’ dalam warna kerana Youtube.
2. Kamu Tahu Apa Itu Puspa Jaya.
Pada zaman awal 80an dahulu, oleh kerana tiada TV3, Astro dan sebagainya, penonton TV hanya boleh menonton siaran RTM 1 dan RTM 2 (untuk yang tinggal di Selatan kamu boleh menonton siaran dari Singapura, dan di Utara dari Thailand). Ketika itu, selain siri ‘Drama Minggu Ini’, siri-siri drama RTM memang popular. Pasal Opah dan Anjang Aki janganlah cerita, tetapi yang betul-betul ‘hardcore’ akan tahu siri ‘PJ’. Senang cerita siri ini sebenarnya ingin menumpang populariti siri ‘Dallas‘. Tidak silap aku ianya kisah keluarga yang ada seorang anak perempuan bernama Puspa Jaya yang sakit leukemia. Akibat kesempitan wang mereka telah berusaha mengumpul derma tapi malangnya apabila cukup wang untuk menjalankan rawatan si Puspa Jaya tadi telah meninggal. Aku tidak faham kenapa tetapi semua ahli keluarga dan rakan taulan yang menderma tidak ingin mengambil wang yang mereka derma itu balik, jadi bapa si Puspa Jaya ini mengambil wang tersebut dan memulakan perniagaan dengan syarikat bernama ‘PJ’. Semestinya syarikat ini berjaya dan keluarga tadi pun menjadi keluarga jutawan.
Kalau drama sekarang selalunya keluarga tersebut sudah hidup macam jutawan, tiada ‘backstory’ tentang bagaimana mereka menjadi jutawan, bukan?
3. Kamu Pernah Naik Bas Mini Tanpa Penghawa Dingin di Stesen Bas Klang.
Memang panas, busuk dan menyakitkan hati. Aku bersyukur tiada lagi Bas Mini di Lembah Klang.
4. Kamu Pernah Simpan Buku Nombor Telefon.
Aku pasti manusia zaman sekarang semuanya menyimpan nombor telefon dalam telefon bimbit mereka. Pada suatu masa dahulu manusia semuanya membawa Buku Nombor Telefon. Yang paling popular ialah jenis yang dilipat-lipat dan boleh diletakkan dalam dompet. Kalau dibuka lipatan akan menjadi sehelai kertas yang panjang. Penting untuk menyimpan nombor saudara-mara di KL apabila kamu lari dari kampung.
5. Kamu Pernah Tunggu Surat.
Sekarang benda yang kamu terima dari Pos Malaysia hanyalah bil-bil dan bungkusan barang tidak berguna yang kamu rembat dari Ebay. Dahulu sebelum adanya telefon bimbit dan e-mel (dan semua telefon awam berbau ludah) cara paling biasa untuk berkomunikasi adalah dengan surat-menyurat. Lagi-lagi bila kamu masih belajar. Aku tidak ingat berapa banyak masa aku bazir semata-mata untuk menunggu surat. Kalau ingin keluar hujung minggu terpaksa buat rancangan awal-awal melalui surat, kalau ingin menelefon rumah terpaksa beritau awal-awal agar mak si dia yang bukan angkat telefon rumah dan macam-macam lagi. Aku pun hairan mengapa kita dulu semuanya penyabar, sekarang e-mel lambat sikit sudah maki-hamun.
6. Kamu Sempat Menonton Gila-Gila Remaja di Panggung Wayang.
Sebelum semua remaja kononnya ‘cool’ sekarang, remaja-remaja yang ingin tampak individualistik terpaksa berhempas pulas mencari bahan rujukan. Tidak kisahlah rujukan muzik (ingat lagi zaman fanzine?) ataupun fesyen. Disebabkan Internet tidak wujud ketika itu remaja zaman tersebut terpaksa lebih kreatif untuk menonjolkan diri. Rancangan TV pun banyak yang di’potong’, dan wayang di pawagam jangan cerita-lah. Jadi kamu bayangkanlah betapa gempaknya bila filem Gila-Gila Remaja keluar. Aku mati-mati ingat pada masa itu untuk SPM kalau tidak belajar dan hanya naik motor sekeliling Malaysia sudah boleh lulus.
7. Kamu Pernah Rasa Modem 56K Itu Memang Laju Gila.
Zaman Internet pada mulanya dipenuhi dengan aktiviti menunggu. Buka sahaja browser Mosaic, terus ke Yahoo! dan terus menunggu.
Dan tunggu.
Dan tunggu.
Budak-budak sekarang memang beruntung!
8. Kamu Pernah Kemaruk King’s Quest.
Ketika zaman komputer CGA dahulu (bila komputer kamu ada punat ‘turbo’), salah satu game yang aku betul-betul kemaruk ialah King’s Quest. Memang penuh dengan pengembaraan dan memang seronok ke sana ke mari dalam dunia fantasi mencari penyelesaian masalah. (Ini semuanya selepas zaman Karateka dan DigDug berakhir, atas inginkan lebih cabaran). Memang mengujakan mencari pengembara zaman mitos di Barat.
Dan selepas itu siri Leisure Suit Larry pula keluar. Macam King’s Quest, tapi ada tetek.
9. Kamu Pernah Sewa Video Gusti.
Waktu remaja aku dahulu banyak dibazirkan dengan menonton video gusti. Duit pun banyak dibazirkan, sebab sewa ketika itu RM2 untuk satu pita. Paling seronok ketika ada rakaman khas seperti Wrestlemania, Survivor Series dan macam-macam lagi. Sebagai remaja yang mudah terpengaruh, ya, aku memang pernah ingat Hulk Hogan itu ‘cool’. Aku juga suka Ultimate Warrior, walaupun si Jim Warrior itu sekarang sebenarnya fanatik berhaluan kiri sekarang. Walaupun gambar tidak jelas (akibat pita yang digunakan dan dipadam dan kemudian dirakam balik berkali-kali) tetapi dunia cukup indah ketika itu. (LUPAKAN HD!) Akibat dari selalu menyewa pita video dari kedai sewa video aku sedikit-sedikit mencuba menyewa video-video jenis lain. Terutamanya yang ada tetek.
10. Nama Jepun Yang Kamu Tahu Hanya Hayata.
Sebelum bermulanya ‘boom’ Doraemon dan siri-siri anime separa porno bahan import yang paling popular dari Jepun ialah siri TV Ultraman. Ya, Ultraman Hayata.
Semua kanak-kanak ketika itu kenal siapa Hayata. Sebelum Tiga, sebelum Dyna dan sebelum Ultraman ada warna ungu dan emas pada kostum mereka, Ultraman yang paling asas ialah kegemaran kanak-kanak satu dunia. Protagonis utamanya bernama Hayata, dan semua kanak-kanak zaman itu berangan ingin menjadi Hayata. (Walaupun sebenarnya kanak-kanak zaman sekarang pun masih ada yang ingin menjadi Ultraman. Malah yang bukan lagi kanak-kanak pun ada aku pasti.)
Selamat Tahun Baru 2011 Semua!