Selasa, 23 November 2010

PAKATAN RAKYAT PERLUKAN PERMUAFAKATAN POLITIK DISAMPING KEKUATAN POLITIK - SATU PENDAPAT

Jika dilihat kembali kepada krisis UMNO 1987, apabila berlaku pertandingan merebut jawatan presiden UMNO antara Dr. Mahathir Mohamed dengan Tengku Razaleigh Hamzah, dimana dalam pertandingan ini, Dr. Mahathir menang dengan majoriti yang tipis dan akibatnya UMNO berpecah dan kumpulan Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46. Tengku Razaleigh sendiri sedar bahawa seandainya Semangat 46 bertanding secara sendirian, harapan untuk mencapai kemenangan adalah tipis. Lantas, beliau lalu mempelopori penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), iaitu gabungan parti-parti pembangkang antara Semangat 46, Hamim dan Berjasa. APU juga mengadakan kerjasama dengan parti bukan Melayu seperti DAP dan AMIPF (parti baru yang diketuai oleh M.G. Pandithan yang dipecat dari MIC). Kerjasama APU dengan DAP dan AMIPF ini jelas menunjukkan bahawa kesemua parti-parti politik di negara ini mengakui bahawa kerjasama politik antara kaum adalah penting bagi memperolehi kemenangan dalam pilihan raya. Ini kerana tanpa sokongan dari semua kaum, maka adalah sukar untuk satu-satu parti politik mencapai kemenangan kerana untuk menang orang-orang Melayu perlukan undi dari orang-orang Cina dan India dan begitulah sebaliknya.

Pilihan raya umum 1990 menunjukkan walaupun parti pembangkang mewujudkan gabungannya sendiri, dan dikatakan mempunyai harapan yang cukup baik untuk mencabar kekuatan BN, namun pakatan ini masih belum diterima pada masa itu mungkin kerana dua sebab: pertama, ia hanya berbentuk untuk kepentingan sementara sahaja, iaitu sebagai marriage of convenience, dan keduanya, masing-masing parti yang bergabung mempunyai ideologi politik yang berbeza. Oleh sebab itulah, biarpun pembangkang mempunyai isu politik yang banyak di tangan, mereka tetap gagal kerana sistem politik permuafakatan yang menggabungkan kesemua kaum dalam satu barisan membolehkan BN mendapat undi dari pengundi yang mahukan kestabilan dan kerjasama antara kaum yang harmoni.

Pada pilihan raya tahun 1995, gabungan APU dan Gagasan Rakyat yang dibentuk oleh pembangkang pada tahun 1990 telah tidak bersatu lagi. Maka keadaan ini membolehkan BN menang besar dalam pilihan raya tersebut. BN hanya dicabar kembali dengan kuat oleh pembangkang dalam pilihan raya umum 1995 apabila Barisan Alternatif (BA) dibentuk. Gabungan BA ini dibentuk selepas Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri Malaysia dipecat dari jawatannya atas tuduhan melakukan hubungan seks luar tabii. Pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatannya telah menimbulkan krisis politik yang besar di Malaysia dan rakyat telah membuka mata dan melihat isu ini bersama isu-isu lain seperti isu keadilan, kebebasan kehakiman, isu rasuah dan pelbagai lagi. Namun, apabila keputusan pilihan raya diumumkan, BN masih lagi mampu untuk mengekalkan kemnenangan dua pertiga majoritinya. Pada pilihan raya umum 2004, setelah BA tidak lagi bersatu, maka BN sekali lagi berjaya dalam pilihan raya tersebut.

Kemenangan parti pemerintah ini boleh dianggap kerana negara kita mempunyai masyarakat majmuk dan pendekatan terbaik untuk memenangi pilihan raya masih perlu menerusi sistem politik permuafakatan. Pihak pembangkang yang belum memenangi pilihan raya umum (walaupun telah pun memenanginya dengan menidakkan 2/3 majoriti dalam PRU12 yang lepas) sebenarnya mempunyai banyak isu yang boleh mempengaruhi rakyat. Percayalah rakyat masih lagi percaya kepada kerjasama antara kaum sebagai asas untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.

Maka itu, selagi parti-parti didalam Pakatan Rakyat sekarang tidak menunjukkan kepada rakyat tentang perpaduan di kalangan anggotanya, maka selagi itulah sukar untuk memenangi pilihan raya di Malaysia dan pengundi akan terus mengundi status quo..

Shaiful Anuar Sulaiman
http://www.shaiful-hulusgr.blogspot.com/
23/11/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan