Selasa, 23 November 2010

Setiausaha Agong PKR - Kongres Nasional PKR bincang mantapkan parti

Oleh Fazy Sahir PETALING JAYA: Kongres Nasional PKR kali ke-7 bermula Jumaat ini akan membincangkan secara terperinci mengenai pertambahan ‘muka-muka baru’ dan pembabitan ketara golongan muda wanita dalam pemilihan kali ini.
Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam kongres memandangkan pemilihan itu telah memberi hikmah kepada parti dalam menerima golongan muda dan baru bagi menghiasi pimpinan di cabang mahupun pusat kelak.
"Selesai pemilihan hampir 60 peratus kepimpinan muka-muka baru di cabang bagi jawatan ketua,timbalan,naib,ketua wanita dan lain-lain. Semakan awal juga mendapati peratus itu merupakan pertambahan ketara bagi golongan muda dan wanita," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Saifuddin berkata tumpuan kepada ucapan dasar presiden akan memfokuskan kepada pengukuhan dan keupayaaan parti sebagai sebuah parti berbilang kaum dengan keanggotaan 50 peratus Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus Sabah dan Sarawak yang dinamik dan berdaya saing.
Beliau menjelaskan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyentuh daya saing parti, pengukuhan imej parti dan komitmen PKR sebagai parti alternatif untuk semua.
"Tumpuan ucapan presiden turut menyentuh komitmen PKR untuk kukuh sebagai parti alternatif yang berkesan untuk menjadi pesaing Barisan Nasional (BN).
"Selain itu, ucapan turut menyentuh mengenai polisi pro-rakyat yang mengupas topik pendidikan, ekonomi dan komitmen parti. Malah isu-isu Melayu seperti visi Melayu turut akan diketengahkan dalam ucapannya nanti," jelas beliau yang juga ahli parlimen Machang.

Kongres tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini.
Sementara itu, kongres tahunan parti itu pada hari pertamanya akan menyaksikan perasmian serentak persidangan Wanita PKR dan AMK yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali.
Keesokkannya, Dr Wan Azizah akan menyampaikan ucapan dasar sekaligus merasmikan Kongres Nasional Tahunan PKR.
Semalam adalah hari terakhir cabang-cabang PKR mengadakan proses pengundian.
Sebanyak 218 daripada 222 cabang PKR berjaya mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.
Saifuddin berkata selepas berakhirnya pemilihan PKR semalam sebanyak 22 peratus ahli telah keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing.
"Hari terakhir pengundian jumlah yang keluar mengundi adalah sebanyak 13.6 peratus dan minggu lalu pula adalah 8.4 peratus yang keluar.
"Ia melibatkan kira-kira 30,000 ahli parti yang telah menjalankan tanggungjawab," katanya.
Beliau berkata kejayaan parti menjalankan proses pengundian secara langsung ini adalah satu permulaan yang baik untuk PKR meneruskan proses yang sama pada masa akan datang.
"Ini adalah proses pemilihan yang pertama kali diadakan di Malaysia, jadi kita tidak boleh bandingkan dengan mana-mana parti sama ada Umno, MCA dan MIC.
"Tapi saya anggap ini merupakan satu permulaan yang baik untuk kita teruskan pemilihan ini pada masa akan datang," katanya.
Seramai 2,460 perwakilan dan 1,025 pemerhati yang berdaftar akan hadir ketika kongres tersebut.

Posted by RAKYAT MARHAEN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan