Jumaat, 25 Julai 2014

TUKAR MB : TG HJ HADI ANGGAP TIADA ALASAN KUKUH

MARANG: Berikut sidang media dan soal jawab Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama pihak media di kediamannya Rusila, Marang selepas kuliah pagi Jumaat, pagi tadi.

SAYA menyokong kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad yang menegaskan supaya diteruskan jawatan Menteri Besar Selangor kepada Tan Sri Khalid Ibrahim. Berdasarkan kepada perlu diambil kira tentang rakyat Selangor dan Sultan Selangor itu sendiri. YB Iskandar adalah wakil PAS Pusat yang dilantik oleh PAS Pusat mengikut Perlembagaan untuk mengendalikan urusan PAS negeri Selangor.

Kenyataan beliau adalah sebagai kenyataan wakil kita (PAS) di Selangor. Dan saya sendiri telah membuat penelitian melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS atau di luar PAS dan membuat kaji selidik. Di mana, didapati bahawa majoriti rakyat Selangor masih bersetuju dengan Tan Sri Khalid menjadi Menteri Besar.

Kedua, kita tidak boleh membelakangi Duli Yang Mulia Sultan Selangor dan kita (PAS) serah kepada bagindalah untuk menentukan dan tidak boleh dibelakangi baginda dalam isu (MB) ini, itu (keputusan) terpulang kepada baginda (Sultan).

Ketiga, alasan-alasan mahu menukar Menteri Besar ini tidak kukuh. Di mana, saya melihat tidak setuju dengan Tan Sri Khalid ini tidak melibatkan amanah-amanah yang besar. Jika sekiranya, beliau (Khalid) terlibat dengan skandal, terlibat dengan pecah amanah, salah guna duit Selangor itu boleh kita tukar. Tapi, jika alasan yang lain itu boleh kita urus dan bukan dengan tukar Menteri Besar. Ini kerana, kita anggap masih dalam 'perjalanan' dan tidak boleh 'dipintas' dalam perjalanan, kena tunggu hingga habis tempoh penggallah. Itu pandangan saya berdasarkan apa yang saya dapat dari Pesuruhjaya PAS negeri Selangor dan rakan-rakan Exco (kerajaan) Selangor dan wakil-wakil rakyat Dun Selangor dari PAS.

Soalan (S): Adakah Tok Guru dan PAS sendiri kekal dengan keputusan untuk mempertahankan Khalid Ibrahim?

Jawapan (J): InsyaAllah, itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan bersama ini. Walau pun  di sana ada pandangan berbeza dan hujah berbeza dan saya dengar semua hujah-hujah ini, saya kumpul dan dapati semua hujah-hujah ini. Akhirnya, saya berpendapat majoriti akar umbi PAS bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim ini dikekalkan jawatan Menteri Besar. (Ini) di atas konsep Amanah, beliau menunaikan amanah (tangggungjawab) ini.

(S): Tidakkah Tok Guru, ini melebarkan perpecahan dalam pakatan pembangkang?

(J): Itu perkara akan datang dan kita (PAS) boleh bincang dan boleh berunding. PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat. Perdapat berbeza itu biasa sejak dari dahulu lagi.

(S): Ini dilihat sebagai jalan akhir untuk Datuk Seri Anwar ke Putrajaya?

(J): Perjuangan kita (PAS) bukan perjuangan untuk peribadi. Iaitu perjuangan untuk menyelamatkan negara dan ini bukan untuk saya (Abdul Hadi), bukan untuk Anwar Ibrahim dan bukan untuk sesiapa, tapi untuk rakyat semua.

(S): Mungkin akan ada (usul) undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor terhadap Tan Sri Khalid?

(J): Benda (perkara) yang akan datang saya tidak boleh jawab, nanti berlaku dulu.

(S): Kecelaruan yang berlaku sekarang ini telah membabit Datuk Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Adakah kerana PAS melihat isu wanita itu menjadi masalah?

(J): Berbeza pendapat itu bukan hanya berlaku di kalangan kita (Pakatan Rakyat) tapi dalam Barisan Nasional (BN) pun berlaku? Menteri Besar Terengganu tidak selesai sampai ke hari ini. Yang (berlaku) di Terengganu, yang Johor, yang Pahang. Saya tahu semua dan Umno-BN juga ada masalah.

(S): Adakah PAS tidak menyokong Langkah Kajang?

(J): Langkah Kajang itu benda (perkara) yang lepas dan kita (PAS) sedang bekerja dan kita (telah) menang dalam Pilihan Raya Kecil di Dun Kajang itu.

(S): Datuk Seri, adakah kerana isunya calon (Menteri Besar) itu wanita?

(J): Isunya adalah isu 'Amanah', menunaikan amanah memimpin dan kita (PAS) dapati Tan Sri Khalid tidak khianat. Ini tidak sampai ke peringkat khianat terhadap amanah ini. Dengan sebab itu salah kita turunkan beliau dengan sebab tidak ada kesalahan yang mencalarkan perkara amanah. Itu (alasan) yang lebih besarnya.

(S): Jadi pendirian pemimpin PAS di Selangor adalah sekata dengan Tok Guru?

(J): Saya ambil (pendapat) Pesuruhjaya PAS Selangor, wakil kita (PAS).

(S): Tok Guru, adakah PAS akan mengajak MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk melompat parti (PKR) kepada PAS. Berikutan dalam PKR sendiri telah ada calon lain selain Tan Sri Khalid?

(J): Itu bukan cara kita (PAS). Sejak awal lagi kerusi kita 15 (Dun), kerusi lebih dari PKR tapi kita (PAS) beri kepada PKR kerusi (MB) Selangor itu. Kita beri kepada dia (PKR) dan kita beri kepada Tan Sri Khalid atas asas dia masih lagi ahli PKR.

(S): Dalam isu mempertahankan Tan Sri Khalid ini kenapa tidak bertindak untuk melantik wakil PAS sendiri menjadi Menteri Besar Selangor?

(J): Macam saya sebut tadi kita (PAS) beri kepada PKR tadi kerana kita sudah ada (kerajaan) Kelantan. Itu menunjukkan semangat kerjasama kita dalam Pakatan Rakyat.

(S): Datuk Seri, setakat ini ada hasrat untuk mengajak Tan Sri Khalid menyertai PAS?

(J): Sehingga ini tidak berhasrat dan terpulang kepada peribadi beliau (Khalid) sendiri.

Rabu, 23 Julai 2014

SELESAIKAN SECARA BERHEMAH...


mb3728a543b477098a4848e499317bdbbd_XLSHAH ALAM, 22 JULAI: Pakatan Rakyat (PR) diingatkan menyelesaikan isu Menteri Besar Selangor dengan tertib serta penuh berhemah dengan persefahaman tiga parti berhadapan cabaran itu untuk mempertahankan kerajaan sedia ada.
Hal ini berikutan kepercayaan pengundi di Selangor boleh merudum apabila PR sendiri memberikan gambaran perjuangan lebih mementingkan agenda politik berbanding memelihara kepentingan rakyat.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau berharap isu pertukaran Menteri Besar seperti yang dimahukan beberapa pihak PKR dapat diselesaikan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab sekaligus memulihkan keyakinan rakyat ekoran isu ini.
“Sudah tentu kalau perkara ini tak diselesaikan dengan penuh tertib dan penuh adab akan menjejaskan bukan sahaja PR di Selangor tetapi PR di PRU-14 akan datang.
“Jadi oleh sebab itu saya berdoa harap perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh tertib, bertanggungjawab dan mengikut lunas-lunas Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.
“Ini kerana Enakmen Kerajaan Negeri Selangor memperakui bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah penentu orang yang akan mengepalai pentadbiran Negeri Selangor iaitu yang menjadi Menteri Besar,” kata Abdul Khalid dalam wawancara ekslusif bersama Selangor Kini di Pejabat Menteri Besar pada Isnin lepas.
Abdul Khalid juga berkata kerajaan sebelum ini berjaya membuktikan peningkatan sokongan yang diterima dari rakyat Selangor apabila berjaya meningkatkan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 lalu.

Sementara itu ketika mengulas proses rundingan pengambilalihan syarikat konsesi pengurusan air, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang satu-satunya masih belum dimuktamadkan, Abdul Khalid menegaskan tindakan melobi bagi syarikat konsesi oleh mana-mana pihak merupakan langkah yang membelakangkan kepentingan rakyat Selangor.
“Jika itu berlaku bermakna mana-mana parti yang membenarkan seseorang boleh melobi ke atas keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri, ini bererti membelakangkan tujuan untuk memberikan kuasa rakyat dapat kebaikan dan pentadbiran yang tulus dan bertanggungjawab.
“Jadi oleh sebab itu saya rasa perkara ini perlu dihindarkan dan beri keupayaan kepada pentadbiran mencari jalan supaya dapat menentukan pembelian konsesi air dibuat dengan harga berpatutan, munasabah dan menguntungkan rakyat,” kata Abdul Khalid lagi.
Abdul Khalid turut menyarankan agar rakyat meneliti perkembangan terkini isu kerusi Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab dan tidak mengikuti berita fitnah dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab.
“Rakyat Selangor mesti menerima hakikat bahawa Selangor mempunyai tatacara perlantikan iaitu, tatacara yang penuh tertib dalam Enakmen Kerajaan Negeri Selangor.
“Saya percaya Kerajaan Negeri dan juga pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan mengikuti tatacara tersebut dengan penuh tertib dan penuh adab,” jelas beliau lagi.

Jumaat, 11 Julai 2014