Rabu, 28 Januari 2009

Sah angkasawan ada 'makan luar'



Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memutuskan tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap angkasawan pertama negara, Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor walaupun siasatan terhadap pertuduhan itu mendapati Sheikh Muszaphar telah melanggar beberapa fasal-fasal dalam kontraknya dengan kementerian.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menterinya, Datuk Dr. Maximus Ongkili, dua hari lalu yang dipetik daripada mstar online.
Ongkili dipetik sebagai berkata, siasatan terhadap pertuduhan itu mendapati Sheikh Muszaphar telah melanggar beberapa fasal-fasal dalam kontraknya dengan kementerian.
Katanya pihak kementerian telah menghantar satu surat tunjuk sebab kepada angkawasan itu dan beliau menjelaskan ceramah-ceramah yang dihadirinya itu adalah selepas waktu pejabat ataupun semasa berada di luar negara dan tindakannya itu tidak menjejaskan tugasnya di kementerian.
"Beliau (Sheikh Muszaphar) telah menyediakan penjelasannya untuk persoalan dalam surat itu termasuk mengapa beliau mengenakan bayaran untuk sesi ceramahnya.
"Dan kami berpendapat alasannya boleh diterima jadi tiada sebab untuk membawa perkara ini lebih lanjut," katanya dan menambah melalui siasatan yang dijalankan, walaupun Sheikh Muszaphar mengenakan bayaran dalam ceramahnya, jumlah itu tidak mencecah jutaan ringgit.
Ongkili turut menjelaskan bahawa terdapat maklumat yang kurang jelas dalam kontrak terdahulu yang turut menjadi sebab mengapa pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan.
Tambah beliau lagi, peguam kementerian mula mengambil langkah susulan bagi menyediakan kontrak baru selepas cuti Tahun Baru Cina.
"Kontrak baru dibuat berdasarkan kelemahan dalam kontrak sedia ada.
"Sheikh Muszaphar telah menyatakan hasratnya untuk meneruskan khidmatnya dengan kementerian namun bagaimanapun ia terpulang kepada persetujuannya berdasarkan kontrak baru nanti," katanya.
Sebelum ini, Harakah dan Harakahdaily telah mendedahkan bahawa Sheikh Muszaphar didakwa mengenakan bayaran RM8,000 bagi sejam sesi ceramah yang jika dikira secara purata 150 ceramah bandan korporat boleh memperoleh pendapatan kira-kira RM1.2 juta.
Ini tidak termasuk menjual buku yang bertajuk 'Reaching For The Stars' hasil karya adik beliau, arwah Sheikh Mustapha Shukor pada harga RM20.00 di setiap ceramah yang diadakan di sekolah.
Menurut sumber setiap sekolah dikatakan perlu 'membeli' sekurang-kurangnya 300 buah yang setiap satunya berharga RM20.00, menjadikan jumlah keseluruhan RM6,000.00 setiap satu ceramah. Dilaporkan beliau telah berceramah di 200 buah sekolah.
Sebelum ini dilaporkan dalam pelbagai akhbar dan laman web, Sheikh Muszaphar beberapa kali menafikan mengenakan sebarang bayaran terhadap setiap sesi ceramah yang dihadirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan