Jumaat, 29 Mei 2009

Belum roboh, teroboh dulu; Jaya Supermarket, PJ


PETALING JAYA - Bangunan yang pernah menempatkan pasar raya Jaya Supermarket di Seksyen 14/20 di sini runtuh petang semalam hingga mengorbankan dua daripada sembilan pekerja yang terperangkap ketika melakukan kerja-kerja merobohkan bangunan itu.

:Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, kesemua sembilan mangsa yang terperangkap dalam insiden kira-kira 5.02 petang itu adalah warga Indonesia dan mereka gagal keluar dari tapak projek kerana berada di tingkat bawah bangunan empat tingkat itu ketika runtuhan berlaku.

:Sehingga jam 11.30 malam semalam katanya, empat mangsa telah dikeluarkan dari runtuhan itu di mana dua terkorban akibat terperangkap dalam timbunan runtuhan manakala dua lagi telah dibawa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan. :Menurutnya, lima lagi mangsa masih terperangkap.

:Beliau berkata, antara yang terlibat dalam operasi mencari dan penyelamat ialah 50 anggota polis, bomba (30), Pasukan Mencari dan Menyelamat (Smart) (15), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) (30) dan Rela (30).

:Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 5.08 petang dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

:Pegawai JPA3 Lt Shahrul Kama Mohd Johari ketika dihubungi berkata, usaha mencari dan menyelamat sedang digiatkan untuk mengesan baki mangsa.

:Seorang saksi, Syed Mohammad Aidid Syed Ahmad Aidid, 41, berkata, beliau mendengar dentuman seperti guruh ketika kejadian itu berlaku.

:“Saya nampak habuk. Batu-batu jatuh di atas kereta saya macam hujan batu,” katanya kepada Bernama.

:Syed Mohammad Aidid berkata, beliau baru meninggalkan bangunan Digital Mall yang terletak bersebelahan bangunan yang runtuh itu untuk ke pejabatnya di Phileo Damansara.

:“Kereta saya di bahagian kiri dan atas kemek. Waktu itu saya rasa amat takut dan sempat berdoa agar tidak ditimpa sebarang kejadian buruk,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan