Jumaat, 1 Mei 2009

Buat aduan kepada Jawi guna SMS



@junhairi.alyasa@kosmo.com.my
PENOLONG pegawai teknologi maklumat, Nor Azah Ali (kiri) dan Shahriza Farah Diba Zakaria memegang poster Gerbang SMS JAWI 15888 pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Lapor maksiat di hujung jari! Itu langkah terbaru Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mulai semalam yang mewujudkan sistem aduan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Selain itu, sistem tersebut diperluaskan dan penggunaan SMS juga membolehkan orang ramai mendapatkan borang nikah yang akan dihantar terus kepada e-mel pengguna.
Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera berdasarkan aduan SMS yang dihantar tetapi perlu menyiasatnya terlebih dahulu.
"Tetapi setiap aduan itu perlu disiasat dengan teliti terlebih dahulu sebelum tindakan diambil, kita tidak mahu ada unsur fitnah atau percubaan menganiaya orang," katanya ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran Gerbang SMS Kerajaan Malaysia 15888 di Dewan Hadhari Jawi sini semalam.
Sistem SMS yang dibangunkan oleh Dapat Vista Sdn. Bhd., itu sudah boleh digunakan sejak semalam dan orang ramai perlu menghantar SMS dengan menggunakan telefon bimbit ke JAWI MENU dan dihantar ke nombor 15888.
Kos penghantaran pertama akan melibatkan bayaran sebanyak 15 sen dan kos penerimaan pula sebanyak 20 sen dan semua SMS terbabit akan dihantar terus kepada tiga saluran utama bagi membolehkan tindakan pantas diambil iaitu ke e-mel, SMS kepada pegawai dan direkodkan ke dalam laman web Jawi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan