Penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista membuktikan bahawa Malaysia masih di hatinya dengan mengadakan persembahan bertenaga di KL Live, Life Centre, Jalan Sultan Ismail, semalam.
Walaupun sebelum ini konsert Inul yang sepatutnya diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Johor Bahru, pada Julai tahun lalu dibatalkan namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk datang ke negara ini.
Malah persembahan Inul di KL Live itu berjaya memukau hampir 5,000 penonton yang hadir.
Pada persembahan tertutup percuma yang dikhususkan kepada tenaga kerja Indonesia itu, Inul yang terkenal dengan aksi goyang gerudi 360 darjah kelihatan bersemangat dan gembira kerana akhirnya berpeluang untuk menghiburkan peminatnya di Malaysia.
"Apa khabar anda semua di Malaysia? Saya sangat gembira untuk beraksi di sini untuk anda semua," kata Inul.
Berpakaian kuning keemasan, Inul kelihatan sopan tetapi bijak membawa penonton menari dan gelek bersamanya pada persembahan selama 40 minit anjuran Mandiri Remittance (Perkhidmatan Kiriman Wang Ke Indonesia).
Inul menyampaikan tujuh buah lagu popularnya termasuk Goyang Inul dan keadaan di dalam Life Centre terkawal tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
Namun, keadaan sedikit kelam-kabut sebelum persembahan yang turut disertai oleh kumpulan Dewa 19 bermula sekitar pukul 3 petang apabila penonton bersesak-sesak memasuki ruang dewan persembahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan