Ahad, 8 November 2009

PISAU CUKUR MENJADI PANAS !



Banyak pujian diberikan di atas usaha Bernard Chauly menghasilkan "Pisau Cukur" selepas tayangan gala filem tersebut diadakan di Cathay Cineplexes Damansara, e@curve baru-baru ini. Cubaan pertama Bernard dalam menghasilkan filem komedi ternyata mendapat tepukan dan reaksi positif daripada pihak media serta mereka yang berpeluang menonton filem tersebut. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan "Pisau Cukur" menunjukkan filem Malaysia semakin bagus dan berkualiti.
Bercakap ketika sidang media yang diadakan di Platinum Movie Suites, Bernard mengaku bukan mudah untuk menghasilkan filem ini. "Saya elak menonton banyak filem kerana tidak mahu "Pisau Cukur" terikut pelbagai style daripada filem lain. Penting untuk saya menghasilkan sebuah filem komedi yang segar. Itulah cabaran yang perlu saya hadapi. Jadi harap-harap "Pisau Cukur" adalah sebuah filem yang unik tetapi universal dan sesuai ditonton oleh semua khalayak. Itu yang penting."
"Pisau Cukur" dibarisi pelakon-pelakon yang berbakat dan mempunyai nama besar dalam bidang lakonan. Diteraju oleh dua pelakon wanita yang pernah memenangi anugerah di Festival Filem Malaysia, Maya Karin dan Nur Fazura, filem ini mengisahkan Bella (Maya) dan Intan (Fazura) yang pergi bercuti di sebuah kapal peranginan. Ketika percutian tersebut, Bella berusaha mencari suami kaya manakala Intan menyiasat kes pembunuhan seorang Datuk yang dikenalinya. Filem ini turut dilakonkan oleh Aaron Aziz, Khatijah Tan, Datuk Rahim Razali, Liyana Jasmay, Umie Aida, Sharifah Sofea dan penampilan pertama daripada Shahredza Minhat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan