Khamis, 11 November 2010

CALON KETUA AMK CHGU BARD SOKONG TANGGUHKAN PEMILIHAN

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin akan kekal dalam saingan, sebaliknya pertemuan anjurannya malam tadi meluluskan enam resolusi - antaranya dipercayai mendesak parti menangguhkan dan mengadakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai “krisis”.
The Malaysian Insider difahamkan resolusi itu antara lain menggariskan siri tindakan untuk diambil setiap hari sekiranya permintaan menangguhkan pemilihan dan memperbaiki segala kelemahan dalam proses tidak diatasi.Keputusan itu diambil ketika tinggal satu hari lagi sebelum hari keenam pengudian pemilihan pusat PKR — di bawah sistem pemilihan secara langsung — dilangsungkan.
Pertemuan itu, dinamakan sebagai “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan”, diadakan di ibu negara ketika Biro Politik PKR pula mengadakan mesyuarat mingguannya dengan kebanyakan calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini difahamkan tidak hadir. Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak hadir kerana berada di luar negara.
The Malaysian Insider difahamkan Biro Politik ada membuat beberapa keputusan dan ia dijangka diumumkan hari ini.
“Kami memutuskan enam resolusi, ia akan disampaikan kepada pucuk kepimpinan parti... presiden dan kesemua anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam tempoh 24 jam,” kata Badrul Hisham pada sidang media tengah malam tadi.
Pertemuan hampir tiga jam itu yang turut disertai penganalisis politik Prof A Aziz Bari dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, buat seketika, juga memutuskan untuk melantik Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman sebagai “orang tengah” untuk membawa resolusi tersebut kepada pucuk kepimpinan.
Kedua-dua Aziz dan Nurul Izzah hadir untuk memberikan input sebelum pertemuan tersebut, yang dipercayai dihadiri sekitar 200 ahli AMK dan penyokong Badrul Hisham dan pasukannya.
“Datuk Fauzi sebagai pemimpin yang disegani dalam parti dan tidak terlibat dalam pemilihan, dilantik sebagai perutusan kami untuk membawa resolusi ini ke perhatian kepimpinan parti, dan mencari penyelesaian demi kelangsungan parti dan memenuhi harapan rakyat,” kata Ketua PKR Rembau ini.
Justeru kata beliau, pihaknya telah memutuskan untuk tidak mendedahkan kandungan resolusi malam ini dan menyerahkan kepada Fauzi, bekas Ahli Parlimen dan bekas timbalan menteri kerajaan pusat untuk mengemukakan kepada parti dalam masa 24 jam.
“Kami sudah lantik Datuk Fauzi sebagai perutusan, jadi tidak adil jika kami yang mengumumkan resolusi ini di sini,” kata beliau lagi.
Ketika ditanya sama ada tindakan menarik diri daripada bersaing jawatan ketua AMK juga salah satu perkara yang diputuskan, Badrul Hisham berkata, “soal bertanding atau tarik diri daripada pertandingan tidak timbul.”
Berhubung soal meminta pemilihan ditangguhkan juga disenaraikan sebagai salah satu resolusi, Badrul berkata, “tidak manis untuk saya memberitahu, kami serahkan kepada Datuk Fauzi membuat keputusan (sama ada mengumumkan ataupun sebaliknya).”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan