Rabu, 6 April 2011

PERSAINGAN PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK BERMULA HARI INI...

Perebutan bagi 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) bermula hari ini dengan calon mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini. Mereka yang berhasrat bertanding diberi masa satu jam bermula 9 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan mereka di pusat penamaan calon yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Borang pencalonan itu kemudiannya akan dipaparkan kepada umum selama satu jam dari 10 pagi bagi sebarang bantahan.
Bagi mereka yang diterima menjadi calon, mempunyai masa 10 hari untuk berkempen bagi memancing sokongan untuk dipilih sebagai wakil rakyat, kurang sehari berbanding tempoh kempen pada pilihan raya negeri 2006.
Calon berkenaan yang mewakili pelbagai parti politik atau bertanding  sebagai calon Bebas, akan berusaha memancing sokongan daripada sejumlah 979,796 pemilih berdaftar, termasuk 18,363 pengundi pos.
SPR menetapkan setiap calon perlu membayar deposit RM5,000 untuk bertanding dan RM3,000 untuk bahan kempen.
Calon yang memutuskan untuk menarik diri selepas mengemukakan borang pencalonan layak dibayar balik wang deposit sekiranya penarikan itu dibuat dalam tempoh pencalonan iaitu dari 9 pagi hingga 10 pagi.
Pengundian ditetapkan pada 16 April di 1,749 pusat pengundian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan