HANYA wanita mengenal wanita. Kata-kata itu tepat untuk menceritakan jiwa Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar yang mesra disapa dengan panggilan Nora.
Lebih 20 tahun lalu, Nora telah bernazar untuk mencurahkan khidmat dan bakti melalui pekerjaan hakiki yang disandangnya atau menerusi penulisan sekiranya berjaya lulus dalam peperiksaan perubatan yang diduduki.
Ternyata niat baik beliau dimakbulkan yang Maha Esa dan janji itulah yang menjadikan wanita yang anggun berbusana rona kuning itu kekal berbakti kepada masyarakat khususnya golongan wanita sehingga ke hari ini.
Nora memiliki pengalaman selama 25 tahun sebagai doktor dan sepanjang tempoh itu, beliau telah merawat lebih 10,000 wanita dan menyambut kira-kira 3,000 kelahiran bayi.
Impiannya untuk memiliki pusat perubatan sendiri juga berjaya direalisasikan dengan tertubuhnya Pusat Perubatan PrimaNora di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur yang menjadi pusat sehenti perubatan dan kecantikan. Pusat perubatan tersebut menjaga keperluan kesihatan wanita dan keluarga.
Sepanjang hidupnya, Nora mempunyai misi untuk memartabatkan kesihatan golongan wanita dengan memberi maklumat dan mendorong mereka lebih memahami tentang kesihatan diri.
Buah tangan terbaharu
Pengalaman berharga yang dimilikinya diterjemahkan melalui penulisan lebih 200 rencana di pelbagai penerbitan. Penulisan beliau boleh dibaca di akhbar New Straits Times dan majalah Wanita.
Buah tangan terbaharu Nora buat pembaca setianya kini diterbitkan dalam bentuk buku yang berjudul Tip Dr. Nora Anggun dan Sihat.
“Wanita memang terkenal dengan pengorbanan masa dan jiwa demi kebahagiaan keluarga sehingga terlepas pandang kepada keadaan diri sendiri.
“Buku ini diterbitkan sebagai menyambut permintaan wanita di luar sana yang mahu mendapatkan maklumat berguna tentang cara penjagaan kesihatan diri,” katanya pada majlis pelancaran buku tersebut di Hotel Palm Garden, Putrajaya baru-baru ini.
Menariknya, Nora berulang kali berpesan bahawa kesihatan bukan segala-galanya namun tanpa kesihatan, semuanya tidak membawa makna.
Artikel yang dibincangkan dalam buku tersebut menyentuh tentang kesihatan umum, kaedah mengatasi tekanan, kehamilan, ketidaksuburan dan kesihatan seksual wanita.
Idea menulis
Tambah Nora, idea menulis tentang tip berkenaan bukan sahaja melalui pembacaan dan pendidikan yang dimilikinya semata-mata malah kebanyakkan idea diilhamkan sendiri oleh pesakitnya.
Buku tersebut turut menekankan tentang amalan kesihatan yang baik dapat memberikan impak kesihatan untuk jangka masa panjang.
“Apa yang dicipta di atas muka bumi ini sebenarnya sudah cukup sempurna untuk kegunaan tubuh kita. Tetapi, kita sendiri yang sabotaj tubuh badan dengan mencampurkan benda asing di dalam makanan dan minuman.
“Kelesuan terjadi apabila badan manusia mengandungi terlampau banyak kandungan toksin. Sebenarnya, gula adalah lebih bahaya daripada heroin kerana ia juga menyebabkan ketagihan dan menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit,” jelas wanita yang tidak pernah lekang menguntum senyuman ini.
Buku tersebut turut boleh dikongsikan dengan pasangan masing-masing agar golongan lelaki boleh memahami wanita dengan lebih baik.
Buku Tip Dr. Nora Anggun dan Sihat terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. ini dijual pada harga RM15 senaskhah dan boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2kKXSvBpc
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan