NAJIB Tun Razak bersalam dengan timbalannya, Muhyiddin Yassin selepas mengumumkan barisan Kabinet barunya di Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR 9 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada barisan jemaah menteri baru, yang beliau sifatkan sebagai Kabinet rakyat.
Perdana Menteri berkata, ini kerana pembentukan Kabinet kali ini tidak terikat kepada tuntutan dan kepentingan parti semata-mata.
‘‘Saya mengambil kira kepentingan parti dan rakyat. Tetapi pertimbangan utama saya adalah rakyat,’’ kata beliau pada taklimat media selepas mengumumkan barisan Kabinetnya hari ini.
Najib yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu mengecilkan saiz Kabinet menjadi 28 menteri dengan 25 kementerian berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian.
Kabinet tersebut menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, lapan menteri digugurkan dan tujuh muka baru dilantik.
Dalam pembentukan Kabinet pertamanya itu, Najib berkata, beliau terpaksa berulang kali melakukan semakan draf senarai mereka yang dilantik supaya menepati gagasannya iaitu rakyat-parti-kerajaan.
Ini meliputi pelantikan beberapa muka baru sebagai sebahagian daripada langkah peremajaan dalam kerajaan dan parti sebagaimana yang dilakukan oleh Allahyarham bapanya, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.
Beliau juga mengakui ada cubaan melobinya untuk mendapatkan jawatan Kabinet.
‘‘Memang ada yang melobi melalui orang di sekeliling saya. Saya tak makan dilobi mana-mana pihak,’’ katanya yang kelihatan ceria sepanjang sesi tersebut.
Perdana Menteri yakin Kabinet tersebut mampu memenuhi aspirasi ‘‘Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.’’
Dalam hubungan ini, Najib mahu menteri dan timbalan menteri lebih berorientasikan pencapaian dan program untuk rakyat, bukannya ghairah menonjolkan diri.
Ini, katanya, termasuk kecenderungan menyiarkan gambar menteri yang digandingkan bersama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam papan iklan dan layar raksasa. ‘‘Tidak perlu begitu kerana rakyat sudah mengenali Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri,’’ tegas beliau.
Begitu juga katanya, dengan program-program kurang bermanfaat yang mengambil masa yang panjang dan tidak produktif.
Katanya lagi: ‘‘Pengisian dan keberkesanan program untuk rakyat itulah yang harus dipastikan.’’
Para menteri, kata Najib sebaliknya digalakkan mengadakan dialog dan diskusi dengan pelbagai kelompok rakyat dan badan bukan kerajaan.
‘‘Banyakkanlah lawatan tidak formal tetapi janganlah hanya mengharapkan liputan media baru mahu melakukannya,’’ kata beliau lagi.
Ditanya berapa lama kerajaan perlukan bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat semua kaum terutama bukan Melayu, Najib berkata, ia adalah umpama perjalanan yang jauh tetapi mesti bermula sekarang. ‘‘Perjalanan 1,000 batu bermula dengan langkah pertama,’’ katanya.
Najib turut ditanya tentang penerimaan menteri-menteri yang digugurkan. ‘‘Kesemua telah dimaklumkan dan mereka menerimanya dengan baik.
‘‘Jika tidak ramai yang gugur bagaimana mahu membawa pembaharuan? ‘’ tanya beliau.
Mengenai saiz Kabinet, Najib memberitahu, beliau sebenarnya berhasrat untuk mengecilkannya lagi tetapi berdepan kekangan untuk memenuhi permintaan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di samping mengambil kira komposisi negeri.
‘‘Susah hendak kecilkan lagi kerana BN adalah umpama keluarga yang besar,’’ katanya.
Mengenai rasional portfolio Menteri Pelajaran disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, kata beliau, ia selaras dengan penekanan utama kepada modal insan dan kementerian berkenaan perlu memainkan peranan lebih besar bagi mencapai matlamat tersebut.
Selain itu, kata Najib, beliau mahu timbalannya, Muhyiddin mempunyai lebih banyak masa membantunya dalam urusan domestik. Ini kerana beliau sendiri sebagai ketua kerajaan akan terlibat dengan banyak tugasan luar negara antaranya menghadiri pelbagai sidang kemuncak dan lawatan penting.
Ditanya apakah beliau gembira dan puas hati selepas membuat pengumuman kabinetnya, Najib berkata: ‘‘Jika saya tidak gembira, saya tidak akan membuat pengumuman itu hari ini. Saya masih ada masa untuk membuat pengumuman kemudian.’’
Perdana Menteri juga mahu barisan timbalan menteri diberi peranan yang luas supaya mereka lebih efektif dan bermotivasi. Selama ini, katanya, timbalan menteri terlalu banyak bergantung kepada menteri termasuk menteri yang tidak suka mewakilkan tugas.
Pada sesi pertemuan itu, Perdana Menteri menafikan dakwaan kononnya Satu Malaysia menyamai konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP.
Beliau menjelaskan, Satu Malaysia tidak menolak dasar afirmatif yang dilaksanakan sekarang tetapi pada masa yang sama akan memastikan tiada golongan dan kaum terpinggir di negara ini.
‘‘Yang penting kita akan berlaku adil kepada semua kaum. Ia akan bermula dengan dasar yang adil dan saksama seperti pemberian biasiswa untuk pelajar cemerlang tanpa mengira kaum,’’ katanya lagi.
Apabila diajukan ketiadaan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam susunan abinet berbanding dua lagi ketua sayap UMNO, Najib yakin Khairy boleh menerimanya dengan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan