Ahad, 3 Mei 2009

AHMAD MASLAN ..KETUA PENERANGAN UMNO BARU..



'TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'...itulah pepatah yang begitu sesuai dengan Ketua Penerangan Umno yang baru, Ahmad Maslan, 43.
Nama beliau bukanlah antara nama yang disebut-sebut untuk menjawat jawatan itu. Namun pelantikannya oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 24 April lalu bukanlah sesuatu yang boleh dipertikaikan memandangkan beliau sememangnya sudah lama terbabit dalam jentera penerangan Umno sebelum ini.
Pelantikannya dalam saf Kabinet baru sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda dan Biro Tatanegara juga menunjukkan beliau sememangnya mendapat kepercayaan yang begitu besar daripada Najib
Dalam temu bual dengan mStar Online, Ahli Parlimen Pontian ini menyifatkan pelantikannya sebagai Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Najib sebagai "tuah dan amanah."
"Ia antara tuah dan amanah. Memang begitulah nampaknya dan saya amat menghargai dan bersyukur atas amanah yang diberi serta menerima dengan tawaduk.
"Saya kira daripada pengalaman sudah-sudah, saya akan dapat melaksanakannya dengan bantuan semua pihak. Nampaknya ia (kerjaya politik) melonjak begitu dan hakikatnya adalah untuk meremajakan Umno dan kerajaan," kata beliau.
Mengenai cabaran, Ahmad menggariskan dua aspek yang beliau akan beri penekanan.
Pertama menyatupadukan kembali orang Melayu yang telah berpecah empat iaitu Melayu Umno, Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu atas pagar.
"Cabaran utama adalah menyatukan Melayu sebagai bangsa induk selain mengakui hakikat kita bersama-sama dengan kaum Cina, India dan Bumiputera lain," ujar beliau.
Cabaran kedua, bagi beliau, adalah menarik semula sokongan khususnya daripada kaum Cina dan India.
"Mereka pernah menyokong kita secara majoriti dan mereka juga mengemukakan pandangan tertentu kepada kerajaan. Kita menghormati pandangan itu dan akan mengembalikan sokongan mereka kepada BN," jelas Ahmad.
BERIKUT SEDUTAN TEMU BUAL DENGAN AHMAD MAZLAN:
Boleh YB ceritakan sedikit latar belakang YB dan bagaimana terlibat dalam bidang politik?
AHMAD MASLAN Saya berasal dari Benut, Pontian. Saya datang dari sebuah kampung yang serba kekurangan yang mana hanya pada tahun 1996, kampung saya mendapat kemudahan elektrik, air, jalan raya dan telefon. Bayangkan saya bersekolah daripada tahun 1973 hingga 1978 (tanpa kemudahan). Sebelum pergi ke sekolah, saya menoreh getah dan pernah bekerja di ladang kelapa sawit.
Seterusnya saya masuk ke sekolah asrama penuh dan melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Di New Zealand, saya menjadi Pengerusi Kelab Umno Wellington dan daripada situlah, saya mula menceburi bidang politik iaitu pada tahun 1998. Kemudiannya pada tahun 1999, saya berucap di Perhimpunan Agung Umno mewakili Kelab Umno Luar Negara.
Kemudian, saya bekerja dengan Biro Tatanegara di Jabatan Perdana Menteri seterusnya kembali semula ke bidang politik setelah dilantik menjadi setiausaha politik kepada Timbalan Menteri Kewangan pada masa itu iaitu Datuk Mustapa Mohamed. Daripada situ, saya menimba banyak pengalaman daripada Tok Pa (Mustapa) yang sangat rajin bekerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan