Selasa, 29 September 2009

Wargakota memenuhi bandar...

Warga kota sudah mula kembali ke bandar. Tentu banyak juga bekalan yang dibawa dari kampung yang boleh dijadikan 'simpanan makanan' kalau bajet untuk bulan ini tersasar. Kuih muih raya yang tak dipandang di Hari Raya sememangnya akan dicari 2, 3 minggu selepas raya.
Kepada mereka yang sudah mula bertugas, janganlah kenangan di Hari Raya menganggu tugas seharian. Terutama mereka yang bertugas dengan kerajaan. Tersilap berbelanja di musim raya, sudah tentunya akan menepuk dahi untuk menunggu gaji yang seterusnya.

Protes Lembu.. YB Yaakob Sapari dah janji 200 ekar di Hulu Selangor..


PROTES LEMBU ... Deretan lori yang membawa lembu dan kambing di letakkan di sepanjang laluan masuk ke bangunan SUK oleh para penternak sebagai tunjuk perasaan selepas pihak kerajaan negeri gagal menghulurkan bantuan selepas ladang ternakan mereka di Selayang dilanda banjir baru-baru ini. Kira-kira 100 penternak lembu di Selangor berhimpun secara aman sambil membawa 40 ekor lembu dan kambing di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, semalam.
Mereka bertindak sedemikian bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri yang didakwa tidak mengendahkan rintihan dua penternak yang mengalami kerugian akibat kejadian empangan pecah di kawasan Lembah Sungai Tua Ulu Yam, Selayang, 24 September lalu.

Selasa, 15 September 2009

Nostalgia International Banquet 1988

Bersama keluarga angkat angkat dan pegawai dari Jabatan Penuntut Malaysia dari Chicago.. di Malam Antarabangsa anjuran International Students Organisation (ISO) dimana aku jadi presidennya ditahun itu, sebelum itu aku menjadi Secretary ISO... terimakasih Mahzan, sahabat yang menyimpan gambar kenangan ini..

Majlis Tazkirah Ramadhan Bersama Ust Nurul, Mesjid Bandar Utama, Btg Kali - 11 Sept 2009

Ahad, 13 September 2009

Selasa, 8 September 2009

Wanita lebih berdisiplin dan yakin bila bersilat?


Mereka pernah dilarang menyertai silat kerana aktiviti itu dianggap tidak sesuai untuk wanita. Namun, dua gadis berhati waja ini tetap meneruskan minat dalam silat sehingga meraih kejayaan membanggakan.
KEBANYAKAN ibu bapa kurang gemar melihat anak gadis mereka melakukan aktiviti lasak seperti remaja lelaki, apatah lagi jika aktiviti itu melibatkan aksi seperti bergaduh.
Namun, jika dilihat pada satu sisi lain, ilmu mempertahankan diri yang 'kasar' itu merupakan satu warisan seni yang sungguh indah jika didalami dengan landasan yang betul.
Daripada 'bunga', 'langkah' dan 'buah,' kesemuanya menjadikan silat berbeza dengan seni mempertahankan diri yang lain, walaupun tujuannya sama iaitu mempertahankan diri dan mendidik pengamalnya agar lebih berdisiplin.
Hari ini, warisan peninggalan nenek moyang kita itu bukan sahaja dipraktikkan oleh masyarakat tempatan, malah telah berkembang ke luar negara. Tidak dinafikan silat dan seni mempertahankan diri yang lain lebih sinonim dengan lelaki tetapi tidak bererti ia tidak boleh disertai oleh kaum wanita.

PAS Selangor Edar 2,000 Bubur Lambuk Untuk Temui Rakyat Shah Alam..

SHAH ALAM, 7 Sept - Amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa kepada umat Islam di bulan Ramadhan, sentiasa menjadi rebutan para dermawan dan pelbagai pihak, semata-mata untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Malah Nabi Muhammad S.A.W turut menuntut umatnya agar berbuat demikian pada bulan yang mulia ini kerana puasa mengajar kita erti kesusahan dan kelaparan yang dilalui mereka yang kurang berkemampuan.
Begitu juga dengan PAS Selangor melalui Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Hassan Ali hari ini menemui rakyat di Parlimen Shah Alam untuk mengedarkan 2 ribu sajian bubur lambuk kepada pengujung dan peniaga di Kompleks PKNS, Shah Alam.
“Dalam kita mengendalikan Selangor dari tahun lepas yang pastinya apa yang kita dapat, tiap sen yang kita dapat, kita tumpahkan kepada rakyat di negeri Selangor, akhirnya rakyat negeri Selangor tuan-tuan dan puan-puan tak ada satu orang pun yang berpendapatan keluarga 1,500 ringgit sebulan”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai di Kompleks PKNS, Shah Alam petang tadi.
Beliau turut menyeru kepada golongan fakir, miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim di seluruh Selangor khususnya Parlimen Shah Alam agar mendaftarkan diri bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
“Lembaga Zakat Selangor mempunyai kutipan zakat 245 juta, 245 juta ini lebih daripada cukup untuk menampung keperluan semua fakir, semua miskin, semua anak yatim dan semua ibu tunggal yang ada di negeri Selangor ini”, jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beberapa pengunjung yang ditemui Tv Selangor mendapati mereka amat mengalu-alukan inisiatif kerajaan negeri mengadakan program sebegini kerana rakyat berpeluang beramah mesra bersama pemimpin mereka.
“Baiklah kiranya, yang terbaik sebab apa mana-mana tempat pun setiap tahun memang diadakan cara macam ini. Jadi hubungan di antara masyarakat dan juga pemimpin tu dapat dieratkan lagi”, kata Alias Mat Diah dari Kapar, Klang.“Baguslah, sebab boleh edarkan kepada semua pengunjung-pengunjung dan peniaga Kompleks PKNS Shah Alam ni. Selain kita bersedekah kan, kita juga boleh merapatkan silaturrahim dengan Datuk Dr Hassan Ali dan kenal dia lebih rapat lagi”, kata Ahmad Safuan dari Shah Alam.
Turut sama mengagihkan bubur lambuk tersebut ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dan Ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam.

Ahad, 6 September 2009

Bersedekah di bulan ramadhan....

Perkara yang sering diingati oleh umat Islam dibulan Ramadhan ialah amalan sedekah dan zakat. Sebenarnya, zakat juga adalah sedekah; namun ia adalah sedekah yang wajib. Misalnya Allah SWT menyatakan: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah " (at-Taubah: 103), maka makna 'sedekah' di sini adalah zakat. Begitu juga apabila Allah SWT menyatakan: "Sesungguhnya sedekah itu adalah untuk fakir, miskin, amil, muallaf… " (at-Taubah: 60)... Wallahualam.

Berhati-hati bila makan di bulan Ramadhan nie..

SETIAP kali tirai Ramadan dibuka, cara pengambilan makanan kita turut berubah. Bulan yang melatih kita menahan pelbagai nafsu menjadi medan ujian yang mencabar terhadap selera makan.
Bagaimanapun ramai tewas kerana rambang mata melihat aneka juadah enak di bazar Ramadan atau makan semahu-mahunya ketika berbuka puasa di hotel dan restoran.
Ada juga menganggap bulan puasa dan Aidilfitri sebagai pesta makan apabila lambakan makanan menyelerakan mudah didapati bukan saja oleh umat Islam, malah masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama di negara ini.
Pengambilan makanan tidak seimbang sepanjang Ramadan dan Aidilfitri mengundang bahaya kepada kesihatan, terutama bagi pesakit kencing manis, darah tinggi dan sakit buah pinggang kronik.

Sabtu, 5 September 2009

Najib Kena Jujurlah kenapa harga minyak dinaikkan..

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menerangkan dengan jujur bagaimanakah subsidi minyak naik melebihi 30 sen ketika harga minyak dunia dilaporkan berada dalam keadaan stabil, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. Pada hari yang sama harga petrol dinaikkan di negara ini, Commodity Online melaporkan harga minyak lebih seimbang dan tidak mengalami turun naik yang ketara.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kerajaan Najib adalah pihak yang bertanggungjawab jika peniaga menaikkan harga barangan keperluan menjelang musim perayaan ini dengan memberikan alasan harga minyak naik.
"Trend yang berlaku sebelum ini ialah harga barangan keperluan terus naik melambung selepas kerajaan menaikkan harga minyak.
"Jika harga barang keperluan dinaikkan dan para peniaga pula memberikan alasan kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga barang keperluan, kerajaan Najib mesti bertanggungjawab," tegas beliau.

Jumaat, 4 September 2009

Kenapa bendera menjadi Mangsanya Dong !


Mari kita lihat sebahagian daripada senario hubungan terkini di antara Malaysia dan Indonesia. Tarian Pendet ditayangkan Discovery Channel menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia. Negara kita dituduh mencuri ‘budaya’ mereka. Sedangkan menurut pengacara program televisyen bual bicara dan penganalisis politik Indonesia, Wimar Witoelar, warga Perancis dan India tidak pernah mengganggu atau menuduh Indonesia mencuri budaya mereka apabila produksi ballet Giselle dan Ramayana dipersembahkan di negara itu.

Apapun, berhubung kesilapan tayangan tarian Pendet, Malaysia pantas memohon maaf sekaligus memberhentikan tayangan klip promo itu. Setakat ini tindakan terbabit dilihat masih tidak diterima baik.

Rabu, 2 September 2009

Nostalgia Pengajian di Lincoln, Nebraska 1981 - 1988


(Aku sendiri pun sudah lupa wajah aku yang kurusss..:) )
(Gambar ini diambik di Oak Lake, Lincoln.. kami buat pertemuan dan fishing menjadi aktiviti disamping potluck)
Pengajian hampir 6 tahun lebih di Amerika Syarikat (Tucson, Arizona sehingga ke Lincoln, Nebraska) memberikan banyak pengalaman pahit dan manis bersama kawan- kawan seMalaysia (bukan SatuMalaysia)..
Apabila FB (Facebook) ini muncul maka di jadikan tempat perhubungan, semua punyai FB masing-masing, aku pun terkejut melihat wajah kami semua telah bertukar, almaklumlah sudah jelas banyak perubahan kepada kami semua, semuanya diambang 40an..
Semua dengan kerjaya masing-masing, semoga kewujudan rangkaian ini (FB) akan terus menjadi titik permulaan kami semua berhubung.. apabila dikira hampir lebih 25 tahun agaknya tidak bertemumuka dan berhubung, mungkin setengahnya bersms dan ada yang bertalipon.. Namun kami berharap dapat berkumpul dan bergambar seperti dahulu...
@SAS

Sambutan ringkas tetapi bermakna


KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 hari ini mungkin yang paling ringkas dalam sejarah apabila berlangsung kurang 40 minit, namun ia tetap menaikkan semangat bangga dan cintakan negara.
Lebih bermakna, acara itu diadakan di Dataran Parlimen, lambang sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.
Dalam masa yang singkat itu, semua aspek penting berjaya diterapkan dengan penuh teratur dan sistematik sehingga sambutan serba ringkas menjadi amat menarik dan tidak memenatkan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun tanpa perarakan lazim iaitu kereta berhias, perbarisan anggota tentera dan perarakan kontinjen peserta, sambutan tahun ini tetap meriah.
Secara keseluruhan, hampir 10,302 peserta daripada pelbagai kontinjen termasuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kementerian-kementerian, agensi awam, badan-badan berkanun, swasta dan sebagainya terlibat dalam menjayakan sambutan bertemakan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Program sambutan kali ini dimulakan dengan pergerakan masuk 500 anggota kontinjen keselamatan yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat diikuti dengan pergerakan masuk Kawalan Kehormat Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Kawalan Kehormat Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd. Radzi Othman.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pada pukul 7.45 pagi diikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa minit selepas itu.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tiba pukul 8 pagi dan sejurus itu lagu Negaraku dinyanyikan bersama pertunjukan lintas udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Seri Paduka kemudian melakukan pemeriksaan terhadap KKU dengan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.
Seterusnya, acara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Negaraku dengan selingan tembakan 14 das meriam dilakukan sebelum bacaan ikrar oleh tujuh warga pendidik yang secara simbolik mewakili tujuh kaum utama di negara ini.
Program kemudian diteruskan dengan persembahan koir Malaysia Tanah Airku oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan persembahan lagu Muhibbah, Jalur Gemilang dan 1Malaysia dinyanyikan.
Menjelang pukul 8.30 pagi, acara sambutan berakhir selepas Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat.
Seri Paduka dan para pembesar serta pemimpin lain mula meninggalkan majlis selepas itu.
Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun tempoh sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 agak singkat, ia memberi impak yang sangat bermakna.
"Ringkas tetapi semua penjiwaannya dapat kita rasai seperti dilihat di tepi jalan dan kiri kanan gerbang masuk ke Parlimen.
"Kita lihat di sini tidak semestinya sesuatu perayaan kemerdekaan itu dibuat besar-besaran sehingga kita membelanjakan berjuta-juta ringgit wang rakyat.
"Dengan adanya penyusunan pada pagi ini, kita dapat membuktikan bahawa dengan belanjawan yang terhad tetapi dengan penglibatan rakyat, kita dapat impak yang sama," katanya ketika ditemui selepas sambutan berkenaan.
Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 diadakan sederhana kali ini berikutan penularan penyakit selesema babi atau H1N1 dan bulan Ramadan.