Untuk mereka yang memiliki semangat juang dan ingin berbakti kepada nusa dan bangsa tetapi tidak berdolar - jawabnya lupakan sahaja PKR sebagai wadah perjuangan. Struktur yang diwujudkan tidak akan membenarkan cita-cita ini tercapai.
Sabar! Abang dan kakak bersabar dahulu. Jangan cepat putus asa. Jalan masih luas terbuka. Biar saya tarbiahkan sejujur mungkin cara untuk menang. Ini tarbiah ringkas dari saya. Senang sahaja: Sila cari cukong untuk menaja kempen anda!
Jangan risau hati, jangan gundah gulana bukan susah untuk mencari sang cukong. Para cukong ini sedang berkeliaran untuk mencari sosok yang baik, jujur dan berketerampilan untuk dimenangkan. Ada cukong pembuat bangunan, ada cukong pasir, ada cukong simen, ada cukong DVD, ada cukong internet, ada cukong papan iklan - ada seribu satu macam jenis cukong yang mahu projek dan lesen mereka diluluskan.
Para cukong yang berkeliaran ini amat bersedia melabur dolar dan riyal untuk memastikan calon mereka menang. Malah para cukong ini melihat bahawa besar kemungkinan sosok yang menang ini nanti akan mendapat tempat sebagai ahli majlis. Tak perlu menjadi ADUN - menjadi ahli majlis tempatan sahaja sudah memadai kerana 'rezeki' akan datang mencurah-curah. Sila kira berapa banyak lembaga majlis tempatan di Selangor?
Untuk melelehkan air liur, sidang pembaca sekalian, biar saya ceritakan disini bahawa belanjawan Majlis Perbandaran Petaling Jaya lebih besar daripada belanjawan negeri Perlis. Pasti meleleh air liur basi sang cukong sekali lagi.
Mungkin tulisan saya ini akan dianggap pesimis seolah-olah kita tidak memiliki jalan keluar daripada di bajak oleh cukong dan para pemodal. Biar saya ceritakan di sini secara jujur dan ikhlas bahawa nawaitu dan pegangan dalam real politic tidak mencukupi. Real politic bukan tentang niat dan pegangan.
Dalam real politik niat yang baik tidak semestinya membawa kebaikan. Mari kita bersama-sama menerima hakikat bahawa kemusnahan dalam dunia ini banyak bermula daripada niat dan cita cita untuk membawa kebaikan.
Justeru apakah tidak ada jalan keluar untuk umat manusia dari terus di cengkam oleh kaum pemodal? Jawabnya pasti ada. Manusia memiliki fikrah. Selagi manusia boleh berfikir maka manusia akan mencari jalan keluar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan